PRN Melaka tidak signifikan jadi kayu pengukur

- Advertisement -

M FAQIH

SEJARAH
baru banyak tercipta selepas 9 Mei 2018. Ia juga boleh disifatkan sebagai rekod kebangsaan. Sekarang bukan lagi sekadar politik baru, sebaliknya deretan rekod politik kemaruk kuasa. 

Mungkin juga boleh dicatat Guinness World Records. Tidak pernah berlaku sejak merdeka Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubar biarpun kerajaan masih ada simple majority.

Berbeza dengan peristiwa yang berlaku di Kelantan pada 1977. Krisis politik dalaman PAS membawa kepada pengisytiharan darurat. Campur tangan Umno mengundang demonstrasi besar-besaran di Kota Bharu.

- Advertisement -

Akhirnya berlaku darurat apabila penyokong Mohamad Nasir berdemontrasi. Tambah marak lagi apabila Umno berada di belakang Mat Nasir. Krisisnya bermula lebih awal apabila Mat Nasir dilantik Menteri Besar Kelantan atas proksi Umno.

Maknanya krisis besar mengundang pembubaran Dun. Begitu juga yang berlaku di Melaka. Empat wakil rakyat penyokong kerajaan belot. Ia menyebabkan kerajaan pimpinan Sulaiman Md Ali hilang sokongan.

Akhirnya mengundang pilihan raya negeri (PRN) pada 20 November 2021. Situasi serupa juga berlaku di Sabah. Ada Adun penyokong kerajaan melompat parti.

Seramai 14 Adun kerajaan Warisan Plus hilang sokongan terhadap Shafei Apdal. Mereka menyokong Musa Aman (Barisan Nasional). Berikutan itu Dun Sabah dibubar.

Agak berbeza sikit di Sarawak, PRN terpaksa diadakan kerana hayat penggal pilihan raya sudah berakhir. Sepatutnya PRN Sarawak diadakan lebih awal, namun terhalang kerana darurat akibat Covid-19.

Penggal Dun Sarawak tamat 6 Jun 2021. Bagaimanapun Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos 2021 jadi penghalang.

Berdasar kronologi tersebut tiga PRN pasca PRU berlaku kerana benar-benar terdesak. Kerajaan yang sedia hilang sokongan majoriti dan tamat tempoh.

Bagaimanapun apa yang berlaku di Johor berbeza. Kerajaan negeri masih ada majoriti mudah. Biarpun dengan kelebihan satu kerusi jentera kerajaan masih berfungsi.

Ia mengulangi apa yang berlaku di Kelantan pada 2004. Kerajaan PAS Kelantan juga memiliki kelebihan satu kerusi.

Pada peringkat awal PAS memiliki 24 kerusi Dun berbanding BN (21). Bagaimanapun Adun PAS Pengkalan Pasir Abdul Aziz Jaafar meninggal dunia, membawa kepada pilihan raya kecil (PRK).

Pada PRK yang diadakan pada Disember 2005, PAS gagal mempertahankan kerusi tersebut. Hanafi Mamat (BN) menang mengatasi Hanifa Ahmad (PAS). Ekoran itu jumlah kerusi PAS merosot kepada 23 dan kerusi BN meningkat kepada 22.

Dalam tempoh tiga tahun PAS mentadbir Kelantan dengan kelebihan satu kerusi. Sepanjang tempoh itulah pelbagai dugaan melanda.

Agen politik cari mangsa

Ada agen parti lawan menjanjikan habuan untuk memancing Adun PAS. Antara sasarannya Adun Kemuning, Zakaria Yaakob yang menang dengan kelebihan 1 undi.

Pernah ada agen datang ke rumah Cikgu Zakaria di Labok, Machang selepas Subuh dengan membawa wang berguni. Situasi serupa juga dialami ramai lagi wakil rakyat PAS.

Bagaimanapun kerajaan PAS mampu bertahan. Pada PRU 2008 PAS Kelantan berjaya melonjak semula kedudukan dengan menang majoriti besar.

Malangnya cabaran serupa gagal dihadapi kerajaan Johor. BN yang mengetuai kerajaan Johor mempunyai 28 kerusi berbanding pembangkang (27).

Jumlah kerusi kerajaan berkurangan satu ekoran kematian Adun Kempas Osman Sapian. Biarpun begitu jentera kerajaan Johor masih lagi berfungsi. Menteri Besar Ir Hasni Mohamad masih mendapat sokongan.

Dalam situasi jentera kerajaan masih berfungsi, tiba-tiba menteri besar memohon istana membubarkan Dun. Mungkin inilah yang kurang difahami anak muda.

Maka tidak hairan parti rakan menyifatkan langkah itu keputusan Umno seorang diri. Umno tidak berunding dengan Bersatu yang menjadi sekutu dalam kerajaan.

Hendak berunding dengan PAS jauh sekali. PAS hanya memiliki satu kerusi di Bukit Pasir. Sebelum Dun Johor dibubar Umno memiliki 14 kerusi, MCA (2) dan MIC (1).

Bersatu pula 11 kerusi dan PAS (1). Manakala saf pembangkang didahului DAP (14 kerusi), PKR 7 dan Amanah (6).

Hasrat sebenar Umno membubarkan Dun mulai kelihatan sekarang. Awal-awal lagi parti itu mengumumkan bertanding di 42 kerusi. Selebihnya 14 kerusi lagi parti kompenan BN.

Umno membayangkan mampu menguasai dua pertiga dengan meletak calon di 42 kerusi. Umno hanya bersandar kecemerlangan parti itu di PRN Melaka.

Namun, ramai bimbang kehadiran 749,731 pengundi 18 tahun ke atas, menyukarkan Umno mengulangi sejarah di Melaka.

Silap percaturan ia boleh mengulang apa yang berlaku pada 9 Mei 2018. Kuasa anak muda menolak BN ketika itu. Biarpun ada penganalisis meramal BN akan menang 40 kerusi, namun ia tidak semudah apa yang berlaku di Melaka.

Anak muda semakin muak dengan gelagat ahli politik yang tamat kuasa. Sekarang peluang mereka menghukum pemimpin terbabit di kertas undi. Atau terus memulau PRN.

Kata seorang sarjana Sains Politik, Shah Mohd Akmal Abdul Halim, PRN Melaka tidak mempunyai kadar keseimbangan yang signifikan untuk dijadikan kayu pengukur.

Peratus keluar mengundi PRN Melaka hanya 65.5 peratus, jauh berbanding 84.7 peratus pada PRU14. Kelembapan keluar mengundi juga berlaku pada PRN Sabah, hanya mencatat 66.61 peratus.

Kes di Sabah dan Melaka hampir serupa kerana agenda lompat parti punca Dun dibubar. Ia berbeza dengan apa yang berlaku di Johor. Ia seolah-olah memperlihatkan mandat rakyat dipersia-siakan.

Itu belum lagi diambil kesan kes Zahid Hamidi di mahkamah. Ketika PRN Melaka Zahid belum lagi diputus untuk membela diri.

Berdasar indikator tersebut ramai bimbang, sejarah di Melaka sukar berulang di Johor. – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -