Alu-alukan penyelesaian damai, rundingan kerusi

Pendirian PAS Negeri Johor bagi PRN Johor

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡأَنفَالِۖ قُلِ ٱلۡأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَأَصۡلِحُواْ ذَاتَ بَيۡنِكُمۡۖ وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ.

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai harta rampasan perang. Katakanlah: harta rampasan perang itu adalah milik Allah dan Rasul. Maka bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah (damaikanlah) hubungan sesama kamu, dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu benar (beriman).”

(al-Anfaal: 1)

Segala puji-pujian hanya milik Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga, para sahabat Baginda, Tabi’in dan seluruh umat Islam.

Panduan al-Quran menyarankan kepada kita agar mengutamakan ketaqwaan kepada Allah dan perdamaian di kalangan umat Islam. Allah S.W.T dan Rasul-Nya S.A.W telah membekalkan kepada kita panduan untuk kesejahteraan kehidupan umat Islam dan umat manusia seluruhnya.

Dalam mendepani isu dan percaturan politik semasa PAS Johor sentiasa mengutamakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Perundingan dan musyawarah adalah keutamaan kita kerana ianya selari dengan kehendak Allah S.W.T demi melihat perpaduan di kalangan umat Islam akan terus diperkukuhkan.

Merujuk kepada video yang tular di mana Pengerusi Umno Johor, Dato’ Hasni Mohamad yang mempersoalkan kejujuran PAS dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada Umno dan lebih tertarik kepada tawaran lima belas kerusi daripada BERSATU.

PAS Johor ingin menegaskan bahawa setakat ini belum ada perundingan atau perbincangan dibuat bersama Umno Johor mengenai pengagihan kerusi PRN Johor dan PRU15 apa lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi DUN.

Sebagai rakan dalam Muafakat Nasional (MN), PAS Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan permuafakatan ini. 

PAS Johor menyeru dan berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincangkan secara ukhuwah melalui perundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga.

Pendekatan ini penting bagi mengelakkan salah faham di samping ianya dapat mengelakkan andaian dan laporan yang mengelirukan di media sosial.

PAS Johor juga menafikan keterlibatan dengan menyokong calon BERJASA dalam PRK Tanjung Piai, bahkan jentera PAS Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon BN daripada MCA pada ketika itu.

Justeru, PAS Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh permuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

“Islam Menyatukan Ummah”

USTAZ ABDULLAH HUSIN
Pesuruhjaya
PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -