45 peratus kawasan terbakar Pulau Burung belum dipadam

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 45 peratus daripada kawasan kebakaran membabitkan seluas lebih 11 hektar tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di Nibong Tebal, masih belum dipadamkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata pihaknya kini mendapatkan bekalan tanah dari pihak berkuasa tempatan untuk menyekat api daripada terus merebak.

Advertisement

“Secara keseluruhannya, keadaan terkawal sekarang dan kita berharap dalam masa terdekat dapat padamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah berkenaan.

“Malah, kita turut menjangkakan proses memadam kebakaran mengambil masa kurang seminggu bergantung pada perancangan dan bekalan tanah yang kita dapat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Keluarga Malaysia dan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 di sini, semalam.

Katanya, pihak JBPM mendapat bekalan tanah sebanyak 50 lori sehari dan proses tersebut dilihat mampu mengurangkan kadar kebakaran di kawasan berkenaan.

Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah itu dilapor berlaku pada kira-kira 5 petang pada 12 Jan lepas dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Jan lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah.

Sementara itu, Saadon berkata statistik kebakaran, penyelamatan dan khidmat khas 24 jam di Pulau Pinang pada 2021 menunjukkan penurunan berbanding 2020, dari segi jumlah kes, kematian atau kecederaan.

“Kes kebakaran yang melibatkan bangunan, belukar dan lain-lain berkurangan daripada 54 kes pada tahun 2020 kepada 51 kes tahun lepas, manakala kes-kes berkaitan penyelamatan berkurang iaitu daripada 76 kes kepada 59 kes,” katanya. – BERNAMA