2022 adalah tahun bekerja untuk rakyat

- Advertisement -

TAHUN 2021 telah kita tutup lembaran bukunya. Pelbagai kisah dan cerita. Sebentar tadi kita juga menonton klip rangkuman pelaksanaan program pada tahun lepas. Asasnya, seluruh agensi Islam telah bergerak di atas pelantar lima inisiatif MANTAP iaitu:

Inisiatif 1: Pemantapan mental, jasmani dan rohani.
Inisiatif 2: Pemantapan sistem pendidikan Islam
Inisiatif 3: Pemantapan insititusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam
Inisiatif 4: Pemantapan institusi masjid dan surau
Inisiatif 5: Pemantapan sosio-ekonomi ummah

Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, bermula 1 September 2021, berteraskan Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19), sebanyak 208 program telah berjaya diselesaikan sebagai KPI agensi hal ehwal Islam. Dalam pada masa yang sama, empat KPI utama YAB Perdana Menteri juga telah disempurnakan dengan jayanya.

- Advertisement -

Kad Laporan Prestasi JPM (Hal Ehwal Agama) sepanjang tempoh itu, telah pejabat saya keluarkan sebagai rujukan kepada semua rakyat bahawa agensi hal ehwal Islam sentiasa melaksanakan tugasan dengan sehabis baik.

Syukur, alhamdulillah. Ia tentunya menjadi petunjuk akan kesungguhan seluruh warga agensi untuk terus bekerja dalam satu pasukan dan bersungguh-sungguh berpaksikan semangat ayat empat Surah As-Soff yang telah saya bacakan di awal tadi.

Tahun 2022 memberikan cabaran utama kepada kita warga agensi Islam adalah untuk menampilkan keizzahan Islam, dengan budaya kerja berkualiti, kematangan gaya fikir serta keluhuran sahsiah diri. Warga agensi Islam sudah tidak boleh lagi hanya beretorik dan berslogan semata-mata. Keindahan Islam perlu dilihat serta dirasai dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat serta bernegara.

Baru-baru ini juga, gempar di media sosial, ada pihak yang cuba mempromosikan Perayaan Hari Agama Sedunia. Kita tegas menolaknya kerana ia adalah isu akidah yang menjadi pasak Islam. Akidah pasti kita pertahankan sampai bila-bila. Tiada kompromi. Viral juga bagaimana seorang remaja yang dimandi jenazah kerana perbuatan mencuri tabung masjid.

Contoh-contoh isu yang saya sebutkan ini adalah petunjuk tahun 2022 yang sedang dilalui garis masanya menuntut komitmen serta daya juang tinggi oleh kita semua. Sekurang-kurangnya ada dua lagi petunjuk di hadapan kita sekarang. Pertama, negara masih bergelut dengan ancaman Covid-19. Kedua, negara kita baru ditimpa musibah banjir. Kedua-dua situasi sukar ini telah menyebabkan masyarakat terjejas teruk meliputi aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan termasuklah penghayatan agama.

Jadi di sinilah, ruang-ruang yang perlu diisi oleh agensi Islam secara proaktif untuk membantu serta menyantuni Keluarga Malaysia untuk bangkit semula.

Dengan latar belakang dan fungsi setiap 14 agensi, ada yang berfungsi sebagai pembuat dasar dan penyelaras, ada pula memberi fokus kepada kehakiman syariah, ada pula bersifat dakwah dan operasi, ada agensi yang bertunjangkan kebajikan dan pembangunan ekonomi, ada bersifat kefatwaan dan bimbingan. Itu sifat agensi Islam.

Semuanya perlu bergerak secara sepadu serta saling lengkap-melengkapi. Asasnya, semua 14 agensi perlu benar-benar faham, fokus dan sensitif dengan keperluan rakyat.

Oleh yang demikian, untuk memperkasa kesepaduan budaya kerja warga agensi, Nilai 6K menjadi nilai bersama untuk dihayati iaitu:

  1. Ketinggian Islam: syiar dan syariat Islam
  2. Kebolehan: warga agensi sentiasa digilap dengan bakat dan kebolehan
  3. Kepantasan: cepat dan tepat dalam membuat keputusan dan tindakan
  4. Ketelusan: berintegriti dan ikhlas dalam bekerja
  5. Keprihatinan: sentiasa mengambil berat dan responsive dengan persekitaran
  6. Keberkesanan: efektif dan efisyen mencapai objektif, bukan sekadar ‘janji’ buat, untuk memenuhkan takwim tahunan.

Nilai-nilai ini perlu diadun sebati dalam setiap gerak kerja warga agensi Islam supaya segala perancangan yang diatur mencapai matlamat yang diinginkan.

Di peringkat agensi, saya dan Timbalan Menteri telah membuat pemukiman bersama ketua-ketua agensi pada pertengahan bulan Januari lalu. Dalam sesi pemukiman tersebut, kita telah membuat analisa senario semasa serta jangkaan apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Ia amat penting bagi menentukan pendekatan terbaik yang perlu diambil agensi Islam.

Maka, untuk memastikan peranan agensi terangkum dengan misi dan visi pentadbiran Islam, bermula tahun 2022 ini, kita telah membangunkan Pelan Strategik Hal Ehwal Islam 2022-2026. Pelan Strategik ini menjadi pelantar kepada halatuju agensi hal ehwal Islam.

Kesemua peranan 14 agensi ini diselaraskan serta dikelompokkan dalam lima kluster iaitu:

  1. Pembangunan Modal Insan
  2. Kesejahteraan Sosial
  3. Sosio-ekonomi
  4. Dasar & Perundangan
  5. Transformasi Penyampaian Perkhidmatan

Melalui Pelan Strategik ini, kita telah meletakkan sasaran yang bersifat jangka pendek dan ada juga yang bersifat jangka panjang. Dokumen ini akan menjadi pelantar kepada gerakerja kita semua. Sebagai contoh melalui Kluster Sosio-Ekonomi, pada tahun ini, telah sampai masanya untuk memperkasa para asnaf dengan lebih berkesan.

Saya mahu supaya sebuah jawatankuasa bertindak diwujudkan yang dianggotai oleh MAIWP, YAPEIM, JAWHAR, Yayasan Waqaf Malaysia dan Tabung Haji bagi merangka Pelan Pembangunan Asnaf yang komprehensif.

Sebagai contoh, pada tahun 2022 ini, kita boleh mensasarkan seramai 1,000 orang asnaf di Wilayah Persekutuan dapat dibantu secara khusus bagi mengeluarkan mereka daripada senarai asnaf sedia ada. Ini sebagai contoh perkara utama yang akan kita laksanakan.

Jika ditinjau pada aspek pembangunan modal insan pula, bermula tahun 2022, kita mahu memperkasa pendidikan turath seperti yang sedang dilaksanakan di Pondok Moden Al-Abaqirah dan Maalim al-Sunan li Dirasah al- Sunnah al-Nabawiyyah (MSN) di bawah kelolaan MAIWP dengan memperluas jaringan pendidikan turath dengan institusi dalam dan luar negara seperti Tunisia, Mesir dan Morocco. Kedua-dua institusi ini akan diberikan fokus khas untuk memastikan kualiti pelajar dan sistem pendidikan yang dilaksanakan mampu melahirkan pakar dan ulama masa hadapan yang berwibawa.

Begitulah juga aspek pendidikan khusus kepada golongan OKU melalui KAFA OKU selain memperkasa sistem pendidikan Tahfiz TVET.

Pada tahun ini juga, saya mahu memberikan penumpuan kepada segmen sistem kewangan sosial Islam iaitu waqaf. Saya ingin mengumumkan tahun 2022 sebagai tahun Pemerkasaan Wakaf. Saya ingin mengesyorkan agar JAWHAR, Yayasan Waqaf Malaysia untuk bersama-sama dengan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dapat melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan pada bulan Ramadhan yang akan datang. Kita harapkan dengan promosi yang berterusan, kesedaran masyarakat tentang wakaf akan dapat ditingkatkan demi manfaat seluruh keluarga Malaysia.

Untuk melaksanakan agenda besar ini, tentunya kita semua warga agensi Islam, perlu mempunyai ufuk minda dan berjiwa besar. Memiliki semangat berkobar-kobar bekerja untuk ummah. Selain satu lagi perkara yang paling mustahak, iaitulah kita mesti bersatu hati.

Jika sesama sendiri kita pun bertelagah dan bergaduh sesama sendiri. Agensi kita tidak mampu untuk berlari jauh ke hadapan, sebaliknya kita hanya akan berlari setempat sahaja. Kita akan banyak membuang masa. Kita hanya akan disibukkan dengan perkara yang tidak perlu.

Pelan Strategik yang kita rencanakan ini, hanya akan kelihatan cantik di atas kertas sahaja. Tetapi ia gagal untuk diterjemahkan kepada masyarakat. Ini kita tidak mahu.

Agensi Islam perlu kekal fokus kepada touch-points masyarakat berpandukan perkhidmatan teras agensi masing-masing. Pada masa yang sama, setiap agensi mesti memperkemaskan sistem kerja agar ia benar-benar efektif. Saya minta sungguh-sungguh Ketua-ketua agensi beri perhatian berat kepada perkara ini.

Kita mahu sistem penyampaian yang pantas, tidak ada karenah birokrasi dan benar-benar sampai kepada masyarakat. Bila sesuatu keputusan mesyuarat diputus hari ini, esok harinya terus kita ambil tindakan pelaksanaan. Janganlah ditunda berminggu-minggu.

Apabila masyarakat berurusan dengan agensi Islam, urusan mereka selesai, dan mereka gembira berurusan dengan warga agensi kita. Semua pegawai dan kakitangan kita kerjanya berkualiti dan wajahnya memberi inspirasi. Ini yang kita mahukan.

Budaya kerja suka bertangguh, budaya “nanti dulu” semua ini perlu dibuang dalam kamus budaya kerja warga agensi hal ehwal Islam.

Setiap apa yang dilaksanakan oleh agensi perlu dimaklumkan kepada masyarakat dengan pendekatan yang pelbagai. Setiap agensi Islam perlu bekerja serta dilihat bekerja. Ini zaman media sosial. Zaman semuanya bergerak serba pantas. Amat mustahak setiap agensi menggunakan pendekatan kreatif untuk mempromosikan apa juga usaha yang telah dilaksanakan oleh agensi.

Agensi-agensi juga perlu memanfaatkan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kepada semua pihak. Contohnya, sebarang aduan yang diterima secara atas talian perlu ditangani dengan baik dan pantas tanpa sebarang kelengahan.

Alhamdulillah, agensi kita sentiasa mendapat pengiktirafan pihak luar. Sebagai contoh Disember tahun 2021, Halal JAKIM telah mendapat pengiktirafan perkhidmatan pensijilan Halal terbaik dunia oleh pihak The Brand-Laurate. Inilah yang kita mahukan.

Dalam pada masa yang sama, saya mahu program-program yang dilaksanakan oleh agensi seperti program dakwah dan ziarah masyarakat di lapangan, tidak perlulah terlampau berprotokol. Dalam pada masa yang sama, program-program yang dirangka oleh agensi mestilah mempunyai nilai “high impact”. Tidak perlu terikat dengan template terdahulu.

Biarlah program kita bersifat genuine, mesra masyarakat, mempunyai “wow- factor” dan benar-benar menyentuh hati rakyat. Rakyat itu pula kita usahakan untuk mendampingi semua golongan dan peringkat usia. Anak- anak muda remaja berusia 18 tahun ke atas khususnya. Ini kelompok umur yang wajib disantuni agensi Islam.

Pada masa yang sama, agensi perlu bersedia dengan pelan fast-track untuk menyelesaikan satu-satu isu dan masalah. Alhamdulillah, dalam hal ini, agensi-agensi seperti MAIWP, YaPEIM, Yayasan Wakaf Malaysia telah banyak melakukan usaha-usaha untuk menyampaikan bantuan dengan pantas.

Alhamdulillah, sepanjang tahun 2021, agihan zakat di Wilayah Persekutuan berjumlah RM725.14 juta melalui 30 skim bantuan MAIWP bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021.

Begitulah juga bantuan Musa’adah Banjir, agensi Islam telah menyampaikan bantuan sebanyak RM8.5 juta kepada masyarakat yang terkesan. Ini adalah amanah umat Islam yang mesti kita sempurnakan. Inilah imej yang sentiasa kita mahu terjemahkan kepada masyarakat.

Selepas majlis ini, kita akan melancarkan program MAIWP iaitu perintis agrotani atau Projek Agropreneur yang akan melibatkan peserta dari kalangan keluarga asnaf. Satu projek permulaan yang amat untuk tahun 2022 ini. Ianya bakal menyediakan peluang tambahan pendapatan kepada asnaf-asnaf dan ke arah melahirkan Agro-Preneur MAIWP. Inilah yang kita sebutkan transformasi untuk membangunkan asnaf kita.

Oleh itu, saya amat yakin, setiap agensi Islam, kita ada jentera dan kekuatan masing-masing. Semua 14 agensi kita ada kepakaran dan nilai tambah masing-masing. Kita juga ada produk mengikut agensi. Alangkah baiknya semua agensi bergerak secara bersepadu dan tentunya akan membuahkan hasil yang lebih baik.
Perkara terakhir yang saya sentuh juga petang ini adalah kepentingan seluruh agensi bersih dan dilihat bersih daripada sebarang salah laku dan pelanggaran peraturan. Ini adalah iltizam agensi Islam. Biarlah kita sentiasa dicontohi.

Pentadbiran agensi Islam perlu sentiasa cekap menguruskan kewangan mengikut peraturan, cekap dan berintegriti. Oleh kerana itu, pelaporan berkala kepada masyarakat perlu sentiasa diberikan tentang apakah bentuk manfaat yang telah kita salurkan kepada masyarakat bersumberkan peruntukan kewangan yang kita ada.

Begitulah juga saya ingin menasihatkan diri saya dan kita semua untuk sentiasa menjaga peribadi kita daripada apa-apa perkara yang boleh memberikan fitnah kepada agama dan agensi kita.

Sebagai penutup, saya ingin memetik sebuah buku yang baru saya khatamkan tentang taqwa. Buku ini berjudul “Taqwa dan Martabat Diri Insan” yang ditulis oleh YB Tuan Guru Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Beliau telah mencatatkan: “Taqwa menjadi satu penilaian kepada martabat manusia di sisi Allah. Penilaian itu bukan berdasarkan bangsa, keturunan, pangkat dan harta. Allah menetapkan harga diri manusia mengikut iman, Islam dan ihsan. Hanya mereka yang melaksanakan perkara tersebut secara sempurna dengan ikhlas dapat mengahsilkan taqwa”.

Semoga catatan nasihat daripada buku ini dapat diambil pengajaran oleh kita semua. – HARAKAHDAILY 27/1/2022

Tulisan di atas adalah petikan ucapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad pada Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Kali Pertama untuk tahun 2022 di Kuala Lumpur pada 25 Januari lalu.

- Advertisement -