Perubatan mencari penyembuhan dan pencegahan

- Advertisement -

KHASIAT buah dan sayur?

Akhir-akhir ini makin banyak sebaran maya berkaitan khasiat buah-buahan dan sayur-sayuran dari sudut perubatan. Terdapat dakwaan dari mereka bahawa buah-buah tertentu mempunyai daya kesembuhan seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, buah pinggang dan lain-lain lagi.

Saya seperti biasa, tidak akan terus menjawab dakwaan tersebut kecuali mencari kesahihan pemberitaan, terutama sekali kajian-kajian yang berkaitan. Sebelum saya melanjutkan tulisan ini, saya tegaskan di sini bahawa saya bukan anti-buah, bukan anti-sayur, bukan anti-ulam, bukan anti-makanan sunnah. 

- Advertisement -

Malah pemakanan yang sihat dan halal saya selalu anjurkan kepada pesakit saya sepanjang masa. Selain ubat diberikan, saya akan menasihati para pesakit agar senantiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Di mana 4 komponen utama gaya hidup sihat ini ialah; Penjagaan makanan yang sihat serta berkhasiat, penjagaan berat badan, amalkan hidup cergas dengan bersenam dan elakkan stres dalam kehidupan.

Mana-mana makanan, buah-buahan, sayur-sayuran sama ada pernah disebut oleh Nabi atau tidak, boleh dimakan, tiada larangan. Silakan selagi tidak mendatangkan mudarat pada tubuh seperti beracun atau alergik. Syaratnya mengikut sukatan yang dibenarkan. Bersederhanalah, jangan membazir. Kesemuanya itu adalah membantu dalam menjadikan kehidupan kita semakin sihat. Kita tidak memerlukan bukti sains pun dalam mengambil makanan ini, kerana ianya adalah makanan asas kita semua.

Manakala ubat pula, sebagai pengawal supaya penyakit kronik kita hadapi tidak melepasi paras bahaya. Tidak dinafikan terdapat segelintir kecil dari para pesakit boleh mengawal penyakit kronik mereka dengan mengamalkan 4 komponen gaya hidup sihat semata-mata. Akan tetapi mereka perlu berdisiplin dan patuh dengan secara ketat amalan pemakanan, senaman dan sebagainya. 

Sebagai contohnya ‘crash diet’ dengan pengiraan pengambilan kalori seharian sebanyak <1000-1200 kalori sehari.[1] Tetapi kebanyakan pesakit tidak dapat mengamalkannya. Saya pun tidak mengesyorkan kecuali pesakit yang terlalu bermotivasi untuk mengamalkannya. Bayangkan 1,000 kalori itu sama banyak dengan 3 biji roti canai, tiada teh 0 atau tambahan makanan lain. Memang terlalu sukar untuk bertahan.

Ada rakan netizen yang menempelak saya kerana menerangkan bukti kajian isu-isu yang berkaitan dengan buah-buahan dari segi perubatan. Setakat bacaan saya, sehingga kini tiada lagi buah-buahan atau pati buah tersebut menandingi ubat-ubat moden yang sedia ada. Apabila saya berhujah sedemikian, segelintir dari mereka cuba memperli saya kerana telalu mengagungkan perubatan moden. Asas yang kita wajib kita pegang adalah bukti kajian, bukan kaedah perubatan, sama ada moden atau alternatif. Jika perubatan alternatif boleh membawa bukti kajian mengikut metodologinya, kami dengan senang boleh menerimanya. Senang sahaja asas itu untuk difahami.

Contohnya dalam isu khasiat petai, terdapat netizen yang mendakwa kajian ke atas petai sudah ada, dan terbukti. Lalu disertakan link rujukan. Apabila saya membaca artikel rujukan tersebut, pemahaman mereka membaca artikel berbeza dengan metodologi dan hasil akhir kajian. Phytosterol yang terdapat dalam petai, kacang, dan sebagainya itu dikaji berkaitan dengan penyerapan kolesterol di usus. Di mana wujudnya Phytosterol berkenaan boleh mengurangkan penyerapan kolesterol ke dalam darah. Metodologi dan objektif kajian itu bukan mengkaji penurunan kolesterol dalam darah. Dan penulis pun mengaku kajian lanjut perlu dijalankan bagi mencari potensi kesan Phytosterol terhadap metabolisma kolestrol dalam badan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.

Tetapi malangya mereka tidak memahami konsep keseluruhan kajian. Kajian sedemikian itu tidak memberi konklusi yang konkrit. Saya mengesyorkan lebih baik ambil sesuatu yang telah terbukti dari apa yang masih belum diyakini. Kenapa mereka memberi konklusi yang berbeda sedangkan tulisan dalam kajian itu sebut perkara berlawanan. 

Penelitian saya mendapati,

1. Kebanyakan mereka adalah penjual produk-produk kesihatan yang berasaskan buah-buahan ini. Di zaman orang tidak suka membuat bacaan lanjut, masyarakat awam akan mudah terpengaruh. Terutama sekali diselitkan pautan kajian saintifik. Masyarakat hanya membaca tajuk dan terus menelan gorengan dari para penjual. Sedangkan hakikat sebenar mereka dikelentong. Keuntungan akan semakin meningkat dengan semakin ramai yang mempercayai.

2. Perkataan klise yang mereka selalu dipancing adalah pemakanan sunnah. Sebaris dua Hadis diselitkan. Membeli dan memakan produk mereka akan memperolehi dua kenikmatan, pertama pahala menghidupkan sunnah. Kedua penyakit akan sembuh sepenuhnya. Inilah biasanya dicanang oleh mereka bagi melariskan jualan.

Berikhtiar

Haruslah bagi kita untuk berikhtiar mencari kaedah penyembuhan dan pencegahan. Bukan bermakna jika kita mengambil ubat hospital, kita dikira sebagai menentang sunnah atau menolak takdir kejadian yang Allah turunkan kepada seseorang. Bukan bermakna juga kita melawan fitrah kejadian manusia yang cukup sempurna. 

Arahan mencari ubat itu juga adalah sunnah. Setiap penyakit diturunkan ubatnya. Di sinilah pentingnya kita berikhtiar mencari ubatnya. Sudah tentu ikhtiar mencari ubat itu ada disiplin ilmunya. Kita bukannya Nabi atau para wali yang mempunyai mukjizat mahupun karomah, justeru kaedah mencari ubat itu perlu mengikut ilmu perubatan.

Ubat-ubatan itu juga pun makhluk Tuhan yang diciptakan bagi kegunaan manusia. Para saintis telah menggunakan kepintaran yang diberikan oleh Allah dalam menyusun sebab akibat sesuatu itu berlaku. Jika bertepatan dengan ubat itu, maka sembuhlah ia.

Sedangkan Rasulullah S.A.W juga mencari penawar bagi penyakit yang ditimpanya sebagai salah satu ikhtiar, apatah lagi kita yang berada di akhir zaman ini? Hospital pun ikhtiar. Cuma ikhtiar berdasarkan kaedah yang paling hampir dengan keberkesanan, selamat dan berkualiti. Takdir sembuh, hidup dan mati atasNya jua. 

Jika kita meletakkan ikhtiar itu kepada sesuatu sandaran yang tiada jaminan keyakinan dari sudut Sunnatullah, bukan bermakna ikhtiar namanya. Contohnya produk jenis A yang baru dipromosi dalam laman maya, dengan pelbagai testimoni yang tiada asas kaedah kajian, dakwaan tersebut masih kabur. Berapa jumlah atau peratus pesakit yang sudah sembuh hasil dari mengambil produk tersebut? Berapa tempoh yang perlu diambil? Adakah kesan sampingan timbul? dan banyak lagi persoalan yang perlu dinyatakan.

Sebagai pengamal perubatan, apabila pesakit bertanya isu pengambilan produk sedemikian, saya akan cuba melontarkan kembali soalan-soalan seperti di atas. Ini kerana setiap patah perkataan doktor, jika membenarkan sesuatu produk yang masih belum diuji, akan menjadi pegangan kepada pesakit dan terus menjaja nama kita di mana-mana.

Ini berbeza dengan ubat-ubatan atau alat-alatan yang sudah teruji dalam premis kesihatan moden. Doktor akan memberikan sesuatu ubat itu mengikut zhan yang kuat setelah mengikut ghalib pengalaman beliau. Selagi namanya ikhtiar, ianya bukan disandarkan 100 peratus kepada ubat pun, tetapi di hujung konsultasi doktor, penyerahan kuasa penyembuh itu kembali kepada Allah jua. Doktor sekadar wasilah kesembuhan, jika berbetulan dengan qadar Allah, maka sembuhlah.

Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak melarang pesakit saya untuk memakan buah-buahan, ulaman-ulaman, makanan Timur Tengah dan sebagainya. Teruskan, dengan syarat anda tidak mempunyai penyakit tertentu yang perlu dapatkan khidmat nasihat doktor sebelum mengambilnya. 

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 25/1/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -