Ganda inisiatif lestari pembangunan mahasiswa

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hendaklah sentiasa berusaha memartabat dan memastikan prestasi akademik semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Naib Canselor UniMAP Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pelajar hendaklah menggandakan inisiatif untuk melestarikan pembangunan mahasiswa.

“Tunjukkanlah nilai-nilai kemanusiaan dan intelektual yang tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan universiti dan negara.

- Advertisement -

“Tumpukan perhatian kepada hal ehwal kebajikan mahasiswa dan sebagai pencetus motivasi selaras hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ‘Menyemarak Semangat #KPTPrihatin’.

“Pelajar juga hendaklah membawa suara dan imej UniMAP ke persada antarabangsa melalui pencapaian akademik yang baik, seimbang dengan akhlak dan sahsiah,” katanya pada majlis angkat sumpah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP sesi 2021/2022 di sini semalam.

Pada majlis itu seramai 27 pelajar mengangkat sumpah selepas mereka memenangi Pilihanraya Kampus UniMAP yang berlangsung 12 Januari lalu.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan serta Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ts. Dr Rizalafande Che Ismail.

Dr Zaliman juga berkata, penyerahan watikah pelantikan tersebut simbolik kepercayaan pihak pengurusan universiti dan mandat pelajar terhadap MPP baharu.

Katanya, kepercayaan dan mandat yang diberi amat besar ertinya dan perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

“Mahasiswa perlu dibangunkan potensi, bukan dibakar semangatnya untuk menentang apa sahaja yang berkaitan dengan dasar universiti dan,” katanya.

Pada pilihan raya kampus tersebut seramai 6,715 pelajar atau 51.42 peratus daripada 13,059 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih tujuh kerusi konstituensi umum dan 17 kerusi konstituensi fakulti serta tiga kerusi di bawah konstituensi khas. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -