Memahami hadis dengan makna yang sebenar

TUJUAN mempelajari ilmu Hadis ialah untuk memahaminya dengan pemahaman yang betul. Ulamak Salafussoleh telah menekankan kepentingan memahami Hadis dengan makna yang sebenar untuk menghilangkan kekeliruan dan mengelakkan memberi takwilan yang salah. 

Semua daripada pelajar ilmu Hadis tahu perlunya mengetahui status Hadis sebelum menyampaikannya kepada orang lain. Umat Islam tidak boleh suka-suka merujuk sesuatu Hadis tanpa mengetahui kedudukannya kerana dikhuatiri statusnya lemah atau palsu. 

Advertisement

Jika kita tidak berhati-hati, bimbang kemungkinan nanti kita akan merujuk Hadis lemah atau palsu dalam hal membabitkan hukum.

Selain itu, salah satu kaedah memahami teks Hadis ialah dengan memahami Hadis berdasarkan Hadis lain di dalam bab yang sama. 

Begitu juga perlu melihat kepada syarah Hadis daripada ulamak yang muktabar, bukannya sesuka hati mentakwil maksud Hadis, apatah lagi mentakwil Hadis mengikut kepentingan diri sendiri.

Pada hari ini, terlalu ramai manusia yang berasa sudah alim hingga tidak perlu merujuk ulamak Salafussoleh sehingga menghasilkan pemahaman yang salah, bahkan membawa kepada perpecahan dan fanatik sesama sendiri.

Semoga Allah jauhkan kita semua daripada ajaran yang menyeleweng dan memahamkan kita dengan kefahaman yang sebenar.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 25/1/2022