Jambatan baru ganti jambatan besi berusia 50 tahun

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

GUA MUSANG:
Kerajaan pusat memperuntukkan hampir RM60 juta bagi membina jambatan kekal di Kampung Pemberian, Kuala Krai dan Kampung Bertam Baru, Gua Musang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan jambatan baharu itu memberi manfaat kepada ribuan penduduk di kedua-dua kawasan tersebut.

Katanya, pembinaan jambatan di Kampung Pemberian sepanjang 240 meter melibatkan kos hampir RM30 juta memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk.

- Advertisement -

Kata beliau jambatan baharu dua lorong itu dibina bagi menggantikan jambatan sementara yang kerap ditenggelami banjir ketika musim tengkujuh.

“Jambatan kekal sepanjang 240 meter menelan kos hampir RM30 juta itu mula dibuka kepada orang ramai pada Oktober 2020.

“Ia terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Kuala Krai iaitu 1 kilometer dari simpang laluan utama melalui Kampung Manjor ke Kampung Pemberian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baru Lembaga Kemajuan Kelantan (KESEDAR) di Ibu Pejabat KESEDAR semalam.

Sebelum ini jambatan besi yang dibina lebih 50 tahun di Pemberian sentiasa ditenggelami air sehingga menyebabkan penduduk di kampung di seberang terputus hubungan.

Mahdzir juga berkata, pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Bertam Baru dan Bertam Lama merentangi Sungai Nenggiri dijangka siap dalam tempoh terdekat.

Katanya, jambatan itu juga bakal memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di kawasan perkampungan berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -