Jabatan Perhutanan kesan sindiket teroka hutan simpan

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

GUA MUSANG:
Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mengesan ada sindiket yang meneroka kawasan Hutan Simpan Relai untuk dijual kawasan itu kepada pihak lain.

Pengarahnya Abdul Khalim Abu Samah berkata, berdasar pemerhatian dan risikan pasukan penguatkuasaan, peneroka haram meneroka kawasan terletak di kompartmen 47 Hutan Simpan Relai seluas 14 hingga 20 hektar dengan tanaman kelapa sawit.

- Advertisement -

Katanya orang ramai tidak boleh menjalankan aktiviti penerokaan haram di mana-mana hutan simpan kekal (HSK) kerana ia boleh merosakkan ekosistem hutan yang sangat berharga.

Oleh itu kata beliau Operasi Bersepadu Khazanah diadakan bagi membanteras aktiviti penerokaan HSK di beberapa kawaasan di negeri itu.

“Operasi tersebut selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Tanah Negara yang bersetuju tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram selewat-lewatnya pada Jun hadapan.

“JPNK sentiasa peka dan mengadakan operasi membanters aktiviti penerokaan haram di Kelantan bagi memelihara khazanah hutan simpan di negeri itu,” katanya kepada pemberita di HSK Relai dekat sini semalam.

Menurutnya juga dalam masa terdekat JPNK akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Polis di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membanteras penerokaan haram.

Abdul Khalim berkata, JPNK akan melipatgandakan operasi dalam tempoh terdekat bagi memastikan aktiviti penerokaan haram HSK dapat dilumpuhkan. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -