PAS buat keputusan setelah selesai analisis di Johor

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: PAS masih menanti analisis dan kajian mengenai sebarang pertimbangan bagi menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangannya, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS akan membuat keputusan itu setelah selesai menganalisis situasi politik di negeri itu.

- Advertisement -

“Kita dalam proses membuat analisis daripada laporan PAS Johor dan juga kajian di lapangan sebelum kita menentukan keputusan-keputusan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan PAS tidak mempunyai peluang untuk memiliki kerusi di Johor, kata Ir Khairil Nizam, menang atau kalah hanyalah adat dalam pertandingan pilihan raya.

Katanya, apa yang lebih penting adalah keberkesanan dan kesediaan jentera PAS untuk menghadapi PRN Johor, dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka berlaku lebih awal.

“Kita bukan hanya berbicara tentang PRN Johor sahaja, kita juga berbicara tentang PRU ke-15 yang mungkin akan berlaku lebih awal daripada yang dijangka. Jadi, menang atau kalah dalam pilihan raya itu biasa,” katanya.

Sabtu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pelantikan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Kerajaan negeri sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu).

Manakala Pakatan Harapan (PH) dengan 27 kerusi iaiatu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -