Kumpul RM100,000 dalam masa 4 hari

Kerja-kerja membaikpulih tandas di KUIZM sedang dijalankan. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, Muslim Care Malaysia Society berjaya mengumpulkan sejumlah RM100,000 dalam tempoh empat hari untuk kerja-kerja membaik pulih Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM).

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya mengucapkan jutaaan terima kasih kepada penyumbang yang prihatin dengan permasalahan yang dihadapi warga KUIZM.

- Advertisement -

Katanya, wang tersebut akan digunakan untuk membaikpulih surau dan tandas yang menjadi keperluan utama yang digunakan pelajar, warga KUIZM dan orang awam.

Bagaimanapun kata Zulkifli, berdasarkan tinjauan dan laporan yang diterimanya, KUIZM berkemungkinan memerlukan belanja lebih lagi untuk membaiki kerosakan lain di pusat pengajian berkenaan.

“Kalau keseluruhan KUIZM, mungkin perlukan lebih lagi. Macam kebocoran dari segi bumbung. Kita lihat, benda itu juga perlukan kos tambahan untuk baiki selepas ini.

“Kita harap perkara ini turut mendapat perhatian pihak lain dan Muslim Care Malaysia juga bersedia untuk kesinambungan selepas ini.

“Antara laporan yang kita terima,setiap kali hujan memang bumbung bocor, perkara sebegini perlu belanja besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, semasa menghadiri majlis penyerahan wang sumbangan kepada pihak KUIZM, di Gombak, semalam.

Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

Turut hadir dalam penyerahan wang sumbangan tersebut adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Senator Ahmad Yahya, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KUIZM, Khairul Muntanazar Ismail dan berisan ALP KUIZM yang lain.

Selain itu, Zulkifli juga merasakan kejayaan mengumpulan RM100,000 dalam tempoh singkat itu merupakan hasil kerjasama yang baik daripada semua pihak termasuk petugas dan sukarelawan Muslim Care Malaysia.

“Selain usaha, doa dan tawakkal. Kita punya pasukan, nampak semua bersatu hati dan nampak kita semua berkempen, pengurusan dan operasi, setiap ahli memang berkempen sehabis baik.

“Alhamdulillah, Allah memberikan keizinan dan membuka hati para penumbang untuk beri sokongan dalam masa yang singkat. Hanya empat hari, bermula Jumaat sehingga Isnin,” katanya.

Zulkifli juga berharap pihaknya sentiasa menerima sokongan daripada pelbagai pihak untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan terutamanya membabitkan kebajikan dalam aspek pendidikan yang menurutnya suatu yang harus diutamakan. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -