Naik taraf jambatan sangat dinantikan rakyat Terengganu

Foto daripada Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
- Advertisement -

MARANG: Projek menaik taraf jambatan yang merentasi Sungai Marang sangat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh warga daerah ini bahkan rakyat Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana setiap tahun apabila tiba musim cuti sekolah, musim perayaan dan waktu puncak, kedengaran rungutan di sana sini tentang keadaan bottleneck yang ada di Jambatan Marang itu.

“Alhamdulillah, saya secara peribadi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih terutama kepada kekanda saya, YB Menteri Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya Malaysia serta Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Setiusaha Kerajaan (SUK) dan Pejabat Daerah Marang di atas penganjuran majlis yang begitu bermakna pada pagi ini.

- Advertisement -

“Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa projek menaik taraf jambatan ini adalah merupakan salah satu usaha kita untuk meredakan masalah kesesakan jalan yang kerap berlaku sejak sekian lama,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah projek berkenaan, di sini, hari ini. Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, beberapa kali kertas cadangan projek itu telah diangkat oleh kerajaan negeri melalui JKR negeri ke peringkat kerajaan persekutuan dengan pelbagai perbincangan dan usaha.

“Alhamdulillah, kelulusan projek ini telah diumumkan oleh YB Senator Tengku Zafrul (Menteri Kewangan) dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020 lalu,” katanya yang juga Adun Ru Rendang.

Beliau juga difahamkan bahawa mesyuarat prapembinaan projek bersama dengan kontraktor yang dilantik telah pun diadakan oleh pihak JKR pada 9 Disember yang lalu.

Katanya, kos pembinaan projek sebanyak RM338.5 juta dan dilaksanakan secara kaedah reka dan bina dalam tempoh tiga tahun enam bulan.

Tambahnya, pihak kerajaan negeri besarlah harapan agar dengan terbinanya jambatan akan menjadi pemangkin kepada kedudukan ekonomi dan merancakkan ekonomi penduduk di kawasan Marang secara khususnya dan di Negeri Terengganu secara amnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak kerajaan pusat atas kelulusan projek itu yang begitu bermanfaat kepada rakyat.

Dr Ahmad Samsuri juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha untuk memastikan projek yang berimpak tinggi itu untuk kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dan kerajaan negeri memberi kerjasama dengan sesungguhnya.

“Sekiranya timbul apa jua masalah, kelewatan, kelambatan atau apa jua birokrasi di peringkat kerajaan negeri sama ada agensi-agensi di jabatan-jabatan, di daerah dan sebagainya, kita bincang dan kita cari jalan bagaimana untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan dalam tempoh yang telah dirancangkan insya-Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -