Dari dulu guru-guru boleh terlibat politik

- Advertisement -

GUA MUSANG: “Sebenarnya dari dahulu lagi guru-guru boleh terlibat dengan politik,” demikian reaksi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Naib Presiden Umno.

Beliau berkata, isu pembabitan guru dalam politik bukanlah perkara baharu sama ada berpihak kepada kerajaan mahupun aktif dengan parti pembangkang.

- Advertisement -

Ulasan beliau itu sebagai menjawab pertikaian sesetengah pihak mengenai kebenaran kepada guru tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terlibat dalam politik.

Menurut beliau, kebenaran kepada guru KEMAS yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dilihat tidak akan menimbulkan banyak masalah kerana ianya telah diamalkan sebelum ini.

Terangnya, hal ini kerana guru dan penyelia KEMAS bukanlah daripada kategori gred DG berbanding guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mempunyai struktur perjawatan yang membabitkan jawatan di peringkat pengurusan.

Sabtu lepas, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan guru sekolah di seluruh negara serta petugas KEMAS dibenarkan untuk berpolitik, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Dato’ Mohamad Alamin dalam pada itu mengingatkan guru-guru supaya tidak melanggar syarat kelonggaran yang membenarkan mereka terlibat dalam politik, selain perlu terus mematuhi segala peraturan semasa jabatan.

Beliau berkata, meskipun belum ada sebarang garis panduan khusus berhubung perkara berkenaan setakat ini, guru-guru yang minat berpolitik diingatkan agar tidak mengabaikan tugas hakiki mereka sebagai pendidik.

Menurutnya beliau gembira dengan langkah Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi kebenaran kepada guru untuk berpolitik, namun pada masa yang sama beliau juga bimbang sekiranya guru-guru melanggar syarat atau lebih berpolitik daripada bertugas.

“Justeru saya mengingatkan semua guru, walaupun berpolitik, namun jangan lupa tugas hakiki dan jangan pernah meminggirkan tugas sebagai guru,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya sempena Lawatan Tindak Susul Parlimen di Sabah di sini, semalam.

Sabtu lepas Ismail Sabri mengumumkan kebenaran kepada kesemua guru sekolah di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik, dan kebenaran itu turut melibatkan petugas KEMAS. – BERNAMA

- Advertisement -