Amilin perlu persiap kepakaran hadapi pelbagai bencana

- Advertisement -

MARAN: Gerak kerja parti kini tidak terhad kepada tadbir urus kerajaan dan agenda politik serta kebajikan dan kemanusiaan lainnya, tetapi juga melangkau kepada menangani kecemasan dan bencana.

ADUN Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil melahirkan rasa bangga kepada para amilin parti yang sentiasa bersedia memberi khidmat kepada golongan memerlukan, namun kini perlu lebih bersiap menghadapi sebarang kemungkinan.

- Advertisement -

“Sekarang dunia mengalami pemanasan global. Mungkin satu masa nanti akan berlaku pula bencana kebakaran, kemarau yang kita tidak jangka. Maka petugas perlu bersiap siaga dengan kekuatan yang ada.

“Supaya kita ada persediaan bagi menghadapi musibah yang mendatang dan (punyai) kepakaran yang bukan tertumpu kepada banjir sahaja,” ujarnya mengharap janaan kompetensi berkaitan.

Perkara itu dinyatakan beliau pada Majlis Penutupan Bilik Operasi Banjir dan Meraikan Petugas Banjir 2021/2022 di Markas Tarbiyah PAS Maran, di sini kelmarin.

Setelah operasi di mana para amilin berkampung hampir sebulan di situ, menu dua ekor kambing memeriahkan jamuan pada majlis keraian ini.

ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak pula menyifatkan khidmat diberikan sebagai satu usaha melepaskan saudara seagama dari kesengsaraan di dunia di mana menurut hadis Nabi SAW dijanjikan pelepasan kesengsaraan di akhirat oleh Allah SWT.

Beliau berharap tugasan berstrategi dan tersusun sepanjang operasi tersebut menjadi pengalaman yang dibawa pulang para petugas ke tempat masing-masing dalam melangsungkan khidmat berterusan kepada masyarakat.

Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman pula mengungkap amal dilaksanakan para petugas sebagaimana hadis manusia yang dicintai Allah kerana memberi manfaat kepada manusia lainnya.

“Khidmat Malaysia ini diwujudkan untuk menyatukan semua NGO seperti Jabatan Amal, Ameerah, Alternative Riding Club dan sebagainya untuk bergerak serentak sebagaimana firman Allah dalam surah as-Saf.

“Khidmat Malaysia juga bergerak membantu segala musibah yang berlaku. Alhamdulillah, selain membantu mangsa kita juga turut membuat modul pengisian yang lengkap untuk akan datang,” ujarnya.

Majlis ini turut menerima kejutan apabila dihadiri Penasihat Khidmat Malaysia, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau memuji kehebatan para amilin yang telah berkorban masa dan tenaga bagi membantu masyarakat dengan ikhlas setiap masa dan tidak bermusim di mana pasti ia diganjari Allah di akhirat kelak. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -