KPM setuju lanjut pengecualian sewaan kantin

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Dato’ Dr Radzi Jidin berkata lanjutkan pengecualian sewaan itu diberikan termasuk sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah bawah KPM.

“Memandangkan pihak KPM telah menerima banyak permohonan daripada pengusaha kantin yang meminta agar pengecualian sewaan kantin diberikan sekali lagi.

“Oleh itu, KPM membuat keputusan untuk memberi pengecualiaan sewaan kantin selama enam bulan bermula Januari hingga Jun ini termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.

Mengulas lanjut ketika ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Dr Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Memandangkan situasi semasa dengan penularan Covid-19 pihak KPM terpaksa membuat keputusan untuk menggunakan kaedah secara penggiliran, bagaimanapun kami berpandangan sistem ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekilah turut diingatkan agar memaklumkan mengenai perkara itu kepada pihak sekolah terlebih dahulu bagi memudahkan tindakan lajut dilakukan.

“Bagaimanapun, KPM menerima secara terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah namun ibu bapa perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anaknya ke sekolah.

“Tujuan ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.

Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal 3, 2021/2022.

Manakala bagi kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan bermula esok, 10 Januari. – HARAKAHDAILY 9/1/2022

- Advertisement -