Muslimat Lipis fokus persiapan hadapi PRU15

- Advertisement -

LIPIS: Dewan Muslimat PAS Kawasan Lipis sedia memperkasakan peranannya mendepani cabaran PRU15 akan datang dengan meningkatkan kefahaman terhadap tugas yang digalas oleh setiap anggotanya.

Sehubungan itu, Permukiman Muslimat PAS Lipis telah dilangsungkan dalam memberi fokus terhadap persediaan tersebut bertempat di Dewan Abdullah Sani, Kampung Berembang, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Pahang, Muttachohiri Ludin menjadi antara moderator yang dimandat mengendalikan taklimat dan perancangan strategik pada bengkel diadakan dalam permukiman ini.

“Gerak kerja pilihan raya ini sangat memerlukan tenaga mahir dalam menggunakan semakan daftar pemilih atau SSDP, selain pendekatan dalam ziarah pengundi, kaedah telecula dan telemaya,” ujarnya membimbing setiap peserta.

Para peserta turut didedahkan untuk mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman serta penyelesaian terhadap situasi-situasi permasalahan serta menambah sasaran dan capaian mengikut ketetapan.

Ketua Muslimat PAS Lipis, Ustazah Balqis Hussain berkata, setiap peserta difahamkan kepada setiap pembentangan agar dapat membantu gerak kerja yang bakal dilaksanakan dalam cabaran PRU15 kelak.

Permukiman ini melibatkan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Lipis, Cawangan-cawangan, Muslimat Muda dan Guru-guru PASTI termasuk yang mengikuti secara dalam talian kerana masih dikuarantin.

“Kita telah dipilih oleh Allah SWT untuk membantu Gerakan Islam ini. Kalau bukan kita, siapa lagi?” ujarnya membangkitkan rangsangan motivasi kepada para peserta permukiman ini.

Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal dalam pada itu mengharapkan Dewan Muslimat terus menjadi medium menghubungkan masyarakat, mendekati rakyat dan menyemarakkan program kebajikan serta keilmuan. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -