YB Kak Lah kagum semangat sukarelawan

- Advertisement -

PENGARAH Khidmat Malaysia, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff yang sedang berada di Temerloh, berpatah balik beberapa puluh kilometer ke arah Kampung Lanar, Mempateh, Lanchang, Pahang, bagi melihat sendiri laporan berkenaan sebuah rumah mangsa banjir.

Beliau dimaklumkan bahawa sebuah rumah yang dihanyutkan sewaktu banjir besar melanda sekitar Pahang baru-baru ini, telah berjaya dibina semula hanya dalam masa tiga hari, lengkap dengan semua peralatan dan barangan dalaman.

- Advertisement -

Sejurus sampai, beliau begitu terkejut melihat sendiri rumah yang siap terbina itu memerlukan kos hanya RM20,000 dengan seramai 120 sukarelawan yang mana keseluruhan mereka itu datang dari Terengganu.

“Kalau kita nak bina kos rumah biasa, paling murah, RM50,000 ke atas. Itupun tak boleh tiga hari, kena tiga bulan, belum tentu siap, rumah inipun kemas elok, masya-Allah,” demikian antara reaksi YB Dato Siti Zailah setelah melihat sendiri rumah yang dimaklumkan kepada beliau itu.

Beliau yang jelas amat gembira dengan kejayaan projek ini, yang mana, NGO Prihatin Anak Watan Terengganu (Prihatin Terengganu), sebagai penaung kepada beberapa NGO lain, turut bersama dalam pasukan Khidmat Malaysia.

“Kak Lah ucap tahniah, satu kerja yang cukup mengkagumkan bagi saya, boleh jadi contoh, hasil daripada keihklasan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ‘team’ sukarelawan kita yang membantu saudara kita yang dalam kesusahan.

“Bayangkan satu rumah, boleh siap dalam masa tiga hari dan bukan setakat rumah biasa, saya ingatkan rumah atas tanah macam tu, tapi ada tangga, bilik, bilik air, siap dengan semuanya, siap dapurnya, tingkapnya, masyaallah, ini adalah satu perkara yang mengkagumkan.

“Program ini seharusnya dijadikan contoh dan kosnya saya dimaklumkan dalam RM20 ribu sahaja dan satu sen pun tidak melibatkan upah, bekerja penuh keihklasan, dari 8.00 pagi hingga 12 tengah malam” ujar beliau dengan penuh rasa teruja dengan kesungguhan sukarelawan.

Tambah beliau lagi, ini adalah sebagai bukti bahawa, pasukan Khidmat Malaysia terus istiqamah membantu mangsa-mangsa banjir, bukan sahaja sewaktu banjir melanda, tetapi juga, pasca banjir dan berharap agar akan terus berkekalan dengan beberapa lagi siri bantuan seperti ini.

Beliau juga berharap, ini akan menjadi contoh, kekuatan dan semangat kepada sukarelawan lain untuk terus bekerjasama membantu golongan yang memerlukan.

Menurut Ketua Progam Misi Bina Rumah Hanyut Banjir 2.0, Asmawi Mukhtar, rumah tersebut adalah rumah kedua yang telah berjaya disiapkan oleh pasukan sukarelawan itu.

Dengan dana yang terhad, mereka berjaya menyiapkan rumah pertama itu dalam masa empat hari, dan beliau yakin, ia boleh disiapkan dengan lebih cepat dan berkualiti, sekiranya kos dan sukarelawan ditambah lagi, dan hasilnya, sebagaimana yang dapat dilihat untuk projek kedua bina rumah ini.

YB Dato’ Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut menghulurkan sumbangan barangan kepada tuan rumah, sebelum bergerak menziarahi rumah pertama yang telah disiapkan dua minggu lalu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tapak berkenaan.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -