Rakyat berhak mendapat yang terbaik

- Advertisement -

MESYUARAT Khas Dewan Rakyat 20 Januari lalu berkenaan bencana banjir yang melanda sebahagian negeri-negeri di Semenanjung termasuk Selangor pada 18 Disember 2021 kini sudah tiga hari berlalu.

Dalam persidangan khas itu Perdana Menteri (PM) Dato’ Sri Ismail Yaakub telah memberikan penerangan dari hal keadaan sebenar bencana berkenaan, langkah-langkah yang diambil Kerajaan Persekutuan beserta kelemahan dan kekurangan yang dikenal-pasti.

- Advertisement -

PM telah memberikan kronologi bermula 18 Disember bagi memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku tidak sebagaimana cuba digambarkan oleh media sosial khasnya yang didalangi pihak pembangkang.

Segala tohmahan berkenaan punca banjir, kelewatan misi menyelamat, agihan bantuan dan lain-lain telah dijelaskan sebaik mungkin oleh PM. 

Kata PM akibat jumlah purata taburan hujan yang turun luar biasa pada hari itu iaitu 380 mm berserta fenomena air pasang besar, banjir yang ‘luar biasa’ turut berlaku khasnya di Selangor.

Anehnya tambah PM pada tempoh yang sama terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir, malah ada yang pada skala yang lebih buruk dari Selangor contohnya di Pahang namun ianya dapat diuruskan dengan baik di sana. Kenapa Pahang baik dan Selangor tidak?

PM menyebut di Dewan Rakyat:

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam kabut telah berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor dan telah mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar (urban flooding).

“Malah, pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.”

Betapa lemah dan tidak berupayanya pengurusan banjir di bawah Kerajaan PH Selangor sehinggakan PM menyebut beliau terpaksa campurtangan dan mempengerusikan sendiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Selangor dan beberapa mesyuarat berkaitan yang lain.

Apa sudah jadi dengan MB Selangor? EXCO-EXCO Kerajaan Negeri PH apa jadi? Kita bukannya mahu menuding jari atau menyalahkan sesiapa, tetapi sebagai parti pemerintah di peringkat negeri, PH tidak boleh lepas dari memikul tanggungjawab dan kelemahan serta kegagalan mereka perlu dibawa ke perhatian rakyat khasnya di Selangor.

Mujurlah kita punya Kerajaan Persekutuan dan PM yang prihatin dan bertanggungjawab serta menitikberatkan nasib dan kebajikan rakyat, bukan sebagaimana MP-MP PH yang sekadar juara memekik dan melalak dalam Parlimen tetapi tidak langsung memberi manfaat pada rakyat di saat cemas dan genting sebagaimana kerajaan negeri mereka di Selangor.

PMlah yang telah menggerakkan dan mengarahkan NADMA, Polis dan Tentera serta agensi-agensi lain turun membantu. PMlah juga meluluskan Bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion dalam pelbagai bentuk untuk meringankan beban dan kesengsaraan rakyat.

PM telah memikul tanggungjawab dan bekerja termasuklah mencampuri urusan yang tidak pun sepatutnya beliau kendalikan. Rakyat perlu menilai perkara ini. Jika kerajaan negeri PH terbukti lemah dan gagal dalam isu pengurusan banjir ini maka mereka perlu mengaku kekurangan mereka dan segera memperbaikinya agar insiden malang seumpama 18 Disember lalu tidak berulang sehingga nyawa terkorban dan harta benda rakyat musnah.

Justeru rakyat perlu bijak membuat keputusan. Jika kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ peringkat Persekutuan ini ternyata memiliki kemampuan dan keupayaan mentadbir terutama di saat krisis, maka mereka perlu dikekalkan. 

Manakala jika ada kerajaan negeri yang culas, lemah dan gagal, jangan berfikir panjang tukar sahaja mereka dengan yang lebih cekap dan pastikan selari dan selaras dengan Kerajaan Persekutuan. Rakyat berhak mendapat yang terbaik.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 24/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1690666847939311/

- Advertisement -