Menteri Agama terima kunjungan Yayasan Al-Islah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal agama), Senator Idris Ahmad menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Al-Islah dan Beroleh Maju JV Sdn. Bhd di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, pertemuan yang mengujakan kerana perbincangan yang singkat namun padat dengan idea dan cadangan bagi pembangunan institusi tahfiz, pondok dan madrasah yang terdapat di Malaysia yang merangkum pelbagai sudut pembangunan.

- Advertisement -

Katanya, daripada sudut pembangunan survival ekonomi dan dana institusi ini sehinggalah ‘career path’ anak-anak murid yang terlibat dalam institusi itu, semua dapat dibincangkan daripada pelbagai pendapat.

“Apa yang membuat saya terharu apabila terkenang kembali inilah yang diperjuang oleh ayah saya untuk memastikan kami dalam keluarga sentiasa terdidik dengan suasana ilmu agama, walaupun ketika itu meletakkan pendidikan formal di sekolah agama agak asing dan sering dipertikaikan berkenaan ‘masa depan’ mereka yang bersekolah agama,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Namun kini, kata beliau terdapat pelbagai usaha yang telah dan akan dilaksanakan agar institusi tahfiz, pondok dan pengajian ilmu agama mampu berkembang pesat dan dapat menarik seramai mungkin umat Islam dan anak-anak muda mendekati ilmu dan suasana agama di bumi yang kita cintai ini.

“Kesedaran ini perlu terus dibugarkan agar ramai lagi umat Islam di Malaysia dapat menghayati dan mengamalkan ajaran agama dengan sempuran seperti yang diperintahkan kepada oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW, insya-Allah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Prof. Dr. Muhammad Rahimi Osman dan Prof. Dr. Ghafarullahuddin Din mewakili Yayasan Al-Islah dan rombongan daripada Beroleh Maju JV Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Dato’ Ir. Noor Azmi Jaafar dan Muhammad Hidir Hamin atas kunjungan di pejabatnya.

“Moga diteruskan usaha meningkatkan kualiti yang terbaik untuk kerja agama yang kita cintai ini,” ujarnya.

Idris juga berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Senator Ras Adiba Radzi.

Menurutnya, beliau mendengar dan mencatat satu persatu pandangan yang dikemukakan mengenai isu-isu kebajikan warga emas dan hal-hal berkaitan komuniti OKU.

“Saya katakan sememangnya isu komuniti OKU dan kebajikan warga emas menjadi sebahagian agenda utama kami di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah beliau tugaskan untuk menyelaras tindakan perkara-perkara berkaitan warga emas dan komuniti OKU.

“Prihatin dan cakna. Itu roh yang mesti dipegang oleh seluruh warga agensi Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -