KIAS usaha dapat status universiti penuh

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) khususnya dalam usaha mendapat status universiti penuh dalam tempoh lima tahun lagi.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perancangan tersebut sedang dilakukan Pengerusi Lembaga Pengarah Kias Darulnaim Sdn Bhd, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Katanya kerajaan negeri menyalurkan peruntukan dalam bentuk geran bernilai RM50 juta untuk dibelanjakan secara tahunan iaitu RM10 juta, bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur dan akademik KIAS.

- Advertisement -

“Kerajaan memberi sokongan terhadap perancangan dilakukan jawatankuasa di bawah Timbalan Menteri Besar khususnya pembangunan yang berpandukan kepada ilmu wahyu dan Membangun Bersama Islam.

“Kita berharap sentiasa seimbang dengan tuntutan semasa seperti perkembangan industri 4.0 selain mengambil kira supaya tidak ketinggalan bagi memenuhi kehendak masyarakat bagi mendapat ilmu agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra sempena sambutan dua dekad penubuhannya di sini, semalam.

Turut hadir Mohd Amar; Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Reaktor KIAS Prof Dr Ab. Aziz Mohd Zin.

Ahmad turut bersyukur terhadap kejayaan tersebut selepas beberapa kali wakil kerajaan negeri mengadakan rundingan bersama Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendapatkan status kolej universiti.

Menurutnya KIAS merupakan penerus legasi Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan berakhlak mulia.

“Kita merakam penghargaan kepada Exco kerajaan negeri yang sentiasa berusaha bersama pengurusan KIAS serta beberapa pihak lain yang sentiasa menyokong sehingga hasrat kita tercapai.

“KIAS berusaha melahirkan insan yang berilmu, bertakwa, beramal soleh dan melaksanakan peranan kebajikan menyebar ilmu kepada masyarakat,” katanya yang alumi YPTIK. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -