PAS Kelantan tetap utama perpaduan Melayu

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
PAS Kelantan akur keengganan Umno untuk menerima kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berpunca hubungan PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pihaknya menerima keputusan Umno untuk memutuskan hubungan selepas mengadakan pertemuan kedua-dua pihak kelmarin.

Menurutnya, hubungan akar umbi kedua-dua parti teras orang Melayu itu sangat baik, malah diharap keputusan tersebut tidak menjejaskan situasi tersebut sehingga wujud perpecahan dalam kalangan orang Melayu/Islam.

Advertisement

“Kita memahami hasrat Umno, kita mohon perkara ini jangan diputuskan dan melihat kepada keadaan semasa sangat baik, di mana ahli akar umbi hubungan antara PAS dan Umno  sebagai baik.

“Tetapi kita tidak boleh buat apa-apa itu pendirian Umno. Pendirian kita masih lagi untuk bersama dalam MN memperkukuh dan memperkasakan PN, itu pendirian kita. Kita tidak boleh buat apa itu pendirian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sempena sambutan dua dekad penubuhannya di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Reaktor KIAS, Prof Dr Ab. Aziz Mohd Zin.

Media sebelum ini melaporkan Badan Perhubungan Umno Kelantan membuat keputusan untuk tidak lagi bersama dengan PAS yang terjalin menerusi Muafakat Nasional (MN), berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad berkata, PAS Kelantan tetap berhasrat untuk meneruskan lagi hubungan bersama Umno Kelantan sehingga Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15) bagi memperkasakan lagi sokongan orang Melayu dan Islam.

Kata beliau juga sebagai parti yang mempunyai persamaan iaitu Melayu dan Islam sebagai tunggak, banyak platform lain yang boleh digunakan lagi bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Walaupun kita tidak bersama dan dia boleh masuk pilihan raya, kalau dah tidak bersama mungkin, tetapi mungkin inshallah kita harapkan lagi atas perpaduan orang Melayu Islam suatu hari kita tidak mahu pertembungan tiga penjuru.

“Kita masih nak dua penjuru dan kita sedia untuk jumpa semula untuk perpaduan Melayu Islam di Kelantan. Kita sedia jumpa, dia pun tiada keberatan. Cuma mereka tidak mahu hubungan dengan Bersatu, itu memang kita akui,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2022