RCI akan kembalikan kegemilangan Tabung Haji

KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS Terengganu mengharapkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dapat mengembalikan nama baik Tabung Haji seperti mana zaman kegemilangannya satu ketika dahulu.

Sehubungan itu, ketuanya, Mohd Harun Esa berkata Pemuda PAS negeri menyambut baik penubuhan RCI itu khusus untuk menyiasat isu-isu yang berkaitan dengan Tabung Haji.

Advertisement

Katanya, seperti diketahui umum, Tabung Haji adalah entiti terbesar yang mewakili umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, Tabung Haji juga ditubuhkan sebagai pemegang amanah kepada simpanan umat Islam di Malaysia berkaitan dengan ibadah haji yang menjadi kewajipan kepada umat Islam.

Sebelum ini, ujar beliau nama baik Tabung Haji agak tercalar dengan masuk campur ‘tangan ghaib’ yang berjaya mengurangkan aset yang dimilikinya.

“Ini dibuktikan dengan kadar peratusan komisen yang semakin kurang setiap tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Kini, ujar beliau di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, Tabung Haji perlu dibersihkan dari segala anasir yang tidak sepatutnya. – HARAKAHDAILY 24/1/2022