Jawatan adalah amanah, bukan untuk dimegah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatan adalah amanah dari Allah dan bukan untuk dimegah-megah walaupun yang melantik adalah manusia melalui sistem yang ada di dunia.

Justeru, kata Bendahari PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman Abd Halim jangan berebut rebut, cantas mencantas kerana inginkan jawatan.

- Advertisement -

“Tetapi jika diberikan jawatan, maka berusahalah menunaikan amanah sebaik mungkin,” ujarnya dalam satu hantaran yang dikongsikan di laman Facebook PAS Pahang, kelmarin.

Beliau turut memetik kisah sahabat Nabi SAW iaitu Abdul Rahman bin Samurah yang mengatakan (bermaksud): Rasulullah SAW berkata kepadaku: Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan kamu meminta minta jawatan kepimpinan, kerana sesungguhnya sekiranya jawatan tersebut diamanahkan kepadamu tanpa kamu minta, maka kamu akan mendapat pertolongan Allah.

Tetapi sebaliknya, jika jawatan tersebut diamanahkan kepada kamu, kerana kamu yang memintanya, maka tiada pertolongan Allah ke atasmu dalam memikulnya.

“Hari ini dengan secara rasmi, sekali lagi kami diberikan amanah untuk memimpin PAS Pahang bagi sesi 2021-2023.

“Doakan kami semua, agar dapat memikul amanah kepimpinan ini dengan baik dan semoga ia menjadi bekalan akhirat ketika bertemu dengan Allah nanti,” ujarnya yang juga Adun Jengka.

Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri Pahang terdiri daripada pesuruhjaya, Ustaz Rosli Abdul Jabar, timbalan-timbalan, Andansura Rabu (Mas’ul Zon Timur), Md Jusoh Darus (Mas’ul Zon Tengah, Ustaz Yohanis Ahmad (Mas’ul Zon Barat), Hassanuddin Salim (setiausaha), Ustaz Shahril Azman Abd Halim (bendahari), Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya (ketua penerangan), Hamdan Abdullah (pengarah pilihan raya), Ustaz Zuridan Mohd Daud (Ketua Dewan Ulamak negeri), Ustaz Aireroshairi Roslan (Ketua Dewan Pemuda negeri dan Salamiah Mohd Nor (Ketua Dewan Muslimat negeri). – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -