Siti Zailah hargai peranan anak muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff amat menghargai semangat dan komitmen anak-anak muda untuk terlibat dalam pembangunan sosial dan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua anak muda membetulkan niat setiap masa agar setiap perkara menjadi ibadah.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian dalam satu hantaran di laman Facebooknya, kelmarin.

Ini susulan Siti Zailah berkesempatan bersama dalam Majlis Apresiasi  Pertubuhan Nisa’ Kelantan, kelmarin.

“Sesi bersama anak-anak muda sangat saya hargai kerana mereka adalah tenaga pelapis kepimpinan yang akan mencorak negara kita pada masa depan,” ujarnya.

Tambahnya, semangat dan komitmen anak-anak muda untuk terlibat dalam pembangunan sosial dan masyarakat dalam fasa mereka sedang membina kerjaya dan keluarga masing-masing, amat dihargai.

“Taujihat saya malam ini banyak memfokuskan agar semua anak muda ini membetulkan niat setiap masa agar setiap perkara menjadi ibadah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Beliau turut berkongsi beberapa tips pengurusan masa, pengurusan keluarga dan beberapa amalan yang wajib dibuat bagi mendapatkan kekuatan daripada Allah dan berharap semoga bermanfaat.

“Saya doakan semua pasukan kerja Pertubuhan Nisa’ Kelantan yang diketuai oleh Puan Nikmatulzaikha Khamis akan terus berkhidmat dan menyumbang bakti kepada ummah, insya-Allah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -