Ahli PAS perlu sedia berdepan cabaran perjuangan

- Advertisement -

TELUK INTAN: Cabaran baharu PAS dalam menghadapi PRU15 kelak ialah ‘kebanjiran’ pengundi baharu dalam kalangan anak muda yang berusia seawal 18 tahun. 

Selain itu, PAS juga berdepan cabaran memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam di negara ini. 

- Advertisement -

Kerana itu, PAS perlu mengatur strategi menangani dan memenangi hati pengundi muda di samping mengusahakan kesatuan politik Melayu-Islam yang terlihat mencabar untuk direalisasikan ketika ini. 

Setiausaha PAS Negeri Perak, Ustaz Fairuz Hafiizh Othman menegaskan demikian pada program Liqa’ Fikri PAS Kawasan Teluk di Kompleks Tarbiyah PAS Teluk Intan (KOMPASTI) baru-baru ini. 

Dalam kupasan tersebut, beliau juga menyentuh masalah yang wujud di mana masih terdapat sebahagian ahli PAS tidak meyakini bahawa perjuangan ini ada hubung kait dengan akidah Islam. 

Rungkainya terhadap permasalahan tersebut adalah kerana gagal mengikuti program-program tarbiyah mengakibatkan kecelaruan fikrah dan prasangka buruk terhadap pimpinan PAS. 

“Lebih parah lagi, apabila mereka (ini) percaya dengan propaganda pihak pembangkang yang menyebar berita (kononnya) pimpinan PAS hanyut dengan keduniaan setelah berada dalam posisi kerajaan sekarang ini,” tempelaknya.

Kerana itu kata beliau, ahli PAS perlu merujuk kepada sumber maklumat parti yang sahih dan sering mengikuti program-program tarbiyah agar kefahaman terhadap hala tuju perjuangan serta gerak kerja kepimpinan dapat difahami dan dihayati. 

Beliau juga membawa pesanan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar menghayati matlamat asal perjuangan dalam menjaga hubungan politik antara MN dan PN.

“Ahli PAS jangan sesekali hilang keyakinan terhadap aspirasi perjuangan dan matlamat asal penubuhannya kerana kemenangan sebenar kita ialah hasil dari akidah yang benar dan doa-doa ikhlas dari orang-orang dahulu yang ikhlas dalam merintis jalan perjuangan ini. 

“Adalah baik untuk kita mengimbau kembali sejarah perjuangan orang-orang dahulu yang sabar dan ikhlas menggerakkan aktiviti parti di peringkat kawasan (mahupun) cawangan. 

“Mereka ini sanggup mengorbankan duit ringgit, masa, tenaga dan apa sahaja yang terdaya demi kelangsungan gerak kerja jemaah. Kerana itu sejarah ini perlu diimbau kembali demi mengembalikan kehangatan nilai perjuangan,” ujar beliau lagi.

Maka dengan itu pesannya agar program-program tarbiyah perlu dipergiatkan lagi kerana ianya amat penting dan berimpak tinggi dalam memangkinkan kemenangan perjuangan Islam di negara ini. 

Mengakhiri taujihatnya, Ustaz Fairuz mengingatkan supaya setiap ahli PAS perlu istiqomah dan memastikan anak-anak mereka memiliki ‘DNA’ PAS, agar jentera perjuangan ini ada kesinambungannya. 

Program Liqa’ Fikri anjuran Lajnah Tarbiyah PAS Teluk Intan kali ini adalah yang pertama kali diadakan secara bersemuka melibatkan penyertaan ahli-ahli dan pimpinan PAS kawasan setelah hampir setahun dijalankan secara atas talian. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -