Kelantan rintis Sukma patuh syariah

- Advertisement -

KELANTAN boleh dianggap sebagai peneraju yang mengetengahkan elemen Islamik dalam pentadbiran negeri. Ia bermula dengan mengharamkan premis perjudian dan mengawal minuman keras pada awal 1990-an. Begitu juga cuti dua hari seminggu dan cuti bersalin 60 hari. Sekarang elemen patuh syariah turut dilebarkan dalam acara sukan. Antaranya sukan bidang badan yang mensyaratkan peserta menutup aurat. Begitu juga peluang sebagai tuan rumah Sukan Malaysia edisi ke-22 pada tahun 2026 akan dimanfaatkan dengan mengetengahkan sukan patuh syariah. Oleh itu bagi melihat persediaan Kelantan sebagai tuan rumah Sukma ikuti temubual wartawan Harakah MUHAMMAD ARIF ISMAIL dan AIN MANAF bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, WAN ROSLAN WAN HAMAT ketika ditemui di Kota Darulnaim baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Sejauh mana persediaan Kelantan untuk menghadapi Sukma empat tahun lagi?

Wan Roslan: Perancangan kita melibatkan tiga agensi iaitu Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes), Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS). Kita mengadakan perkampungan di Cherating Pahang selama tiga hari bagi membuat perancangan termasuk berkaitan dengan Sukma. Sebenarnya kita buat akhir tahun lepas tetapi oleh kerana pandemic, jadi kita agak lewat sikit. Kita buat perancangan ‘Road to Sukma 2026’ dengan kita mengadakan kursus kejurulatihan. Setakat ini tiga siri sudah kita buat kursus itu melibatkan 13 permainan baru di Tok Aman Resort.

Antaranya, berbasikal, olahraga dan bola. Kita buat tiga peringkat pertama,  pencarian bakat, kedua pelapis dan ketiga imtiaz. Imtiaz ini kita akan hantar untuk mereka bertanding di peringkat mana-mana. Dan apabila mereka dapat kemenangan kita masuk dalam senarai imtiaz di mana atlet terbabit akan diberi pingat dan penghargaan. Inilah yang akan gilap dan jaga. Kita jaga atlet terbabit melalui persatuan-persatuan antaranya persatuan badminton, pingpong, bola jaring dan semua jenis permainan.

Mungkin ada perpebezaan Sukma Kelantan berbanding negeri lain?

Sekarang tidak boleh hendak memberitahu lagi perbezaannya. Acara sukan Sukma ada 16 acara wajib dan lapan acara pilihan. Cuma kita kelainan itu sebab kita seperti Terengganu dan Pahang, kita akan berikhtiar untuk menampilkan acara Sukma ini secara patuh syariah. Antara persediaannya ialah kita menubuhkan Akademi Assibahah. Akademik Renang kita latih 20 peserta renang secara patuh syariah. Dan kita anjur acara dwi-tahunan kita buat KARSUKEL (Karnival Sukan Kelantan. Bagi tahun ada acara Sukma kita tidak anjur KARSUKEL. Manakala bagi pakaian patuh syariah ia bermula tahun lepas lagi antara gymrama kita tetapkan atlet kena berpakaian sopan atau patuh syariah. Inilah perbezaannya.

Bagaimana pula persediaan dari segi prasarana?

Sekarang dalam proses menyiapkan teknikal yang akan dimulakan tahun dalam ini yang telah diluluskan sebanyak RM6.7 juta untuk memulakan pembinaannya yang meliputi stadium hoki, lapang sasar menembak dan akuatik. Acara akutik akan tertumpu di Islamik City yang dikenali sebagai Madinah as Salam yang akan dibina di Kampung Tiong, Kota Bharu.

Tumpuan lain untuk menambahbaik kemudahan sukan yang sedia ada. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melulus peruntukan dari semasa ke semasa antaranya pembinaan padang, kita menambah baik Stadium Sultan Muhammad IV. Kerajaan sudah melulus peruntukan sebanyak RM5 juta. Tahun ini proses penambahbaikan lampu limpah di Padang Perdana telah diluluskan sebanyak RM500,000. InsyaAllah tahun ini akan ditambahabaik dan beberapa venue lain seperti Pusat Latihan Muay Thai di Sekolah Menengah Seri Kiambang Pasir Mas sebanyak RM80,000. Peruntukannya di bawah bajet kecil di bawah KBS.

Perancangan lain?

Untuk meningkatkan lagi ilmu ahli-ahli sukan kita sudah mengadakan MoU dengan UiTM Machang, di mana mana-mana atlet yang mendapat kelulusan minima tiga kredit SPM boleh menyambung belajar di peringkat lebih tinggi. Kita juga akan cari ruang dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk pembangunan atlet. Kita juga telah buat MoU dengan USM untuk persiapan atlet bagi membina kekuatan otot dan sebagainya.

Bagi atlet yang pernah mewakili negeri Kelantan namun tidak mempunyai tiga kredit SPM dan berusia bawah 18 tahun, akan diberi sokongan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) kalau dia berminat untuk belajar di UiTM.

Sehingga sekarang seramai 20 pelajar memasuki UiTM Cawangan Kelantan bermula pada 2019, 2020 dan 2021. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -