PAS Langkawi terima 619 ahli tahun lalu

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
PAS Kawasan Langkawi tampil sebagai kawasan paling ramai keahlian baharu PAS iaitu 619 orang sepanjang tahun lalu.

Langkawi juga mencapai peratus tertinggi iaitu 310 peratus dengan jumlah keahlian baharu yang paling ramai (395) di Bukit Malut.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Penerangan PAS Kedah, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat sempena program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS yang berlangsung di Kompleks PAS negeri, semalam.

- Advertisement -

Sementara PAS Kawasan Pokok Sena di tempat kedua keahlian baharu teramai dengan jumlah 604 orang dan seterusnya Baling (541).

PAS Kawasan Pokok Sena juga menerima pengiktirafan kawasan paling banyak cawangan menambah keahlian baharu sepanjang tempoh 2021.

68 cawangan di Kawasan Pokok Sena itu, telah memberi komitmen sepanjang tahun lalu menambah keahlian baharu PAS di cawangan masing-masing.

“PAS Kedah mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dan berharap kawasan-kawasan lain juga berusaha untuk menjayakan kempen keahlian PAS ini,” kata Mohd Azam.

Pada majlis itu, Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti dan Sekretariat Keahlian PAS, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi menerima gimik penyerahan waqisah pelantikan saf kepimpinan PAS Kedah sesi 2021/2023 daripada Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Dato’ Ahmad Yahaya.

Dalam perkembangan lain, beberapa cawangan yang telah menyerahkan dana pembinaan dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor melebihi RM1,300 menerima sijil penghargaan pada majlis tersebut.

Berikutan itu, Pelancaran Dana Pembinaan Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor juga disempurnakan perasmiannya oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Hadir bersama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin sebagai pembentang kertas kerja kedua pada program berkenaan. – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -