Tikar pandan laut unik, mampu bertahan lama

SETIU: Daun pandan laut yang dianyam kemas menjadi tikar, mampu menyumbang pendapatan lumayan kerana keunikannya menjanjikan pasaran yang luas.

Kini semakin sukar ditemui kerana bilangan individu yang meneruskan aktiviti menganyam kini terdiri daripada mereka yang sudah bergelar warga emas di kawasan luar bandar.

Namun Wan Fatimah Wan Abdul Rahman, 62, dari Kampung Gong Batu membuktikan bidang anyaman berasaskan daun pandan laut masih mempunyai tempat termasuk sebagai hiasan bagi mereka yang cintakan seni kraf tradisional.

Advertisement

Jelasnya, kraftangan tersebut boleh dijadikan industri yang berkembang maju kerana permintaan terhadap produk-produk tersebut masih tinggi.

“Tikar pandan laut ini sungguh cantik, seni anyamannya begitu halus, dan mampu bertahan sehingga 40 tahun.

“Terdapat pelbagai corak seperti tapak berbam, bunga bakul, bunga mata bilis, bakul besar serta bunga mata biawak mendapat permintaan tinggi.

“Malah saya turut mendapat tempahan  dari negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur termasuk negara luar iaitu Pattani,” ujar ibu kepada lapan orang anak itu.

Katanya, terdapat tiga jenis anyaman yang dihasilkan iaitu anyaman kasar yang dijual pada harga RM8, anyaman halus (RM20) dan anyaman paling halus (RM30) bagi setiap 0.3 meter tikar yang dihasilkan.

Menceritakan bagaimana minatnya terhadap seni anyaman ini timbul, Wan Fatimah berkata segalanya secara spontan ketika dia berusia 15 tahun.

“Sebab tak ada kerja nak buat pada masa itu, saya daftarkan diri bersama kawan-kawan ke kursus seni anyaman tikar anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Akhirnya dari 25 peserta tinggal dua orang termasuk saya yang bertahan sehingga sekarang,” katanya yang kini pendapatan bulanannya mencecah RM600 hingga RM1,000.

Wan Fatimah berkata, untuk membuat tikar pandan, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah membuang duri dan bahagian tengah daun pandan laut tersebut.

“Daun pandan laut banyak duri sehingga luka jari-jemari dan tangan ketika memprosesnya adalah perkara biasa sehinggakan nak makan nasi pun susah.

“Saya bersama suami mencari daun pandan laut di sepanjang tanah bencah. Ada juga ketika saya dapatkan daripada pokok yang ditanam di sekitar rumah saya ini,” katanya lagi.

Setelah itu, proses diteruskan dengan membelah daun tersebut menggunakan jangak yang dikategorikan kepada beberapa jenis mengikut saiz belahan daun tikar yang diperlukan.

“Kemudian, daun yang telah dibelah diikat, dipukul, tumbuk dan direbus dalam api dan dijemur sehingga kering,” ujarnya.

Selepas itu, barulah proses mewarna dilakukan dan jemur dalam keadaan cuaca yang berangin dan tidak panas.

“Sebelum proses menganyam, daun tersebut dilurut terlebih dahulu supaya lembut untuk dianyam,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sebidang tikar pandan laut anyaman tangan hari ini dijual sekitar harga RM90 semeter namun hasil kreativiti seni anyaman yang unik dan menarik membolehkan tikar bersaiz lebih 10 meter tersebut mencecah harga RM1,000 ke atas. – TRDI.my