Hari Agama Sedunia bercanggah syariat Islam

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Sambutan Hari Agama Sedunia jelas bercanggah dengan syariat kerana tiada sambutan seumpama itu dalam Islam.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil membantah sekeras-kerasnya perayaan itu untuk disambut oleh umat Islam di Malaysia khasnya.

- Advertisement -

“Perkara ini jelas, kerana Allah telah menyebut dalam Al Quran bahawa agama di sisi Allah hanyalah Islam.

“Ia bermaksud hanya agama Islam boleh dijadikan cara hidup untuk seluruh masyarakat di dalam negara mahupun dunia,” katanya.

Menurut beliau lagi, dalam Perlembagaan Malaysia juga menjadikan agama Islam sebagai agama persekutuan dengan tidak mengabaikan penganut agama lain untuk bebas mengamalkan ajaran agama mereka.

“Perlembagaan negara kita juga jelas menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi.

“Namun, penganut agama lain diberi kebebasan untuk mengamalkan agama mereka dengan tidak mencampuri urusan agama Islam itu sendiri,” katanya lagi.

Hari Agama Sedunia ialah perayaan yang dimulakan pada tahun 1950 oleh Perhimpunan Rohani Kebangsaan Bahai Amerika Syarikat.

Walaupun dimulakan di Amerika Syarikat, Hari Agama Sedunia disambut di peringkat antarabangsa oleh pengikut Bahai. – HARAKAHDAILY 19/1/2022

- Advertisement -