Pasaran kerja kini jauh berbeza zaman dahulu

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pasaran kerja kini sudah jauh berbeza berbanding zaman dahulu kerana tidak lagi hanya tertumpu kepada sijil semata-mata.

Titah baginda, tetapi kini mengambil kira ilmu dan persediaan yang dilakukan seorang graduan sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.

Advertisement

Menurut baginda, ketidaktentuan keadaan semasa turut memberi kesan hebat terhadap graduan bagi tiga tahun kebelakangan ini.

“Oleh itu, pihak universiti perlu mengambil inisiatif memberi pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi melalui pelbagai dimensi.

“Antaranya berkaitan aspek yang meliputi pengetahuan, kemahiran serta pengalaman supaya mereka bersedia menghadapi dunia luar,” titah baginda ketika merasmikan program UniMAP Entrepreneur & Career Talk 2022 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam Pauh Putra, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan semua tentang kesan Covid-19 yang menyebabkan banyak pengurusan industri dan syarikat terpaksa dilakukan secara dalam talian.

“Justeru itu, penguasaan kemahiran digital sangat diperlukan berseuaian dengan situasi kini.

“Kemahiran ini akan menjadi kelebihan untuk mengisi sebarang kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat suatu masa nanti,” titah baginda lagi.

Antara ahli panelis yang diundang untuk berkongsi pengalaman dan idea dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani; Pengarah Kanan Frost dan Sullivan Asia Pacific,Barry Lim; Ketua Mastrak, Eena Khalil Lim dan Pengarah Eksekutif Energy Actions Partner, Ayu Abdullah serta Penasihat Envision Digital International Pte. Ltd,  Azaidi Mohd Lazim.

Hadir sama ialah Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan. – HARAKAHDAILY 19/1/2022