PKD Guar Sanji, MSN kerjasama majukan sukan

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Lanjutan daripada lawatan Majlis Sukan Negeri (MSN) ke Dun Guar Sanji pada 10 Januari lalu, pihak Pusat Khidmat Dun (PKD) mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan memanah dan sepak takraw untuk penduduk di sini.

Adun Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, pertandingan itu membuktikan kerjasama erat pihak Dun dengan MSN ke arah memajukan sukan khasnya untuk negeri Perlis.

Advertisement

“Juara bagi acara ini, akan mewakili Dun untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Pemilihan akan dibuat di seluruh Dun mengikut kesesuaian dan latar belakang tempat masing-masing,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak MSN mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai bakat baru bagi mewakili negeri menyertai Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

“Justeru itu, kita memulakan jejak lebih awal dengan Dun Guar Sanji menjadi Dun pertama yang mengadakan pertandingan seumpama ini.

“Saya menyeru kepada penduduk khasnya Dun ini untuk menyertai pertandingan bukan sahaja untuk mendapat pingat, malah ia juga akan memberi pengalaman baharu kepada mereka,” ujarnya.

Pertandingan dan pemilihan atlet memanah dan sepak takraw akan diadakan pada 30 Januari ini di Dataran Behor Mentalon, di sini.

Untuk pendaftaran, boleh berhubung dengan Pegawai Pusat Khidmat DUN Guar Sanji, Shahir di talian 013-4973884. – HARAKAHDAILY 19/1/2022