Pemuda PAS baiki lebih 1,000 motosikal mangsa banjir

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kelab permotoran, Alternative Riding Club (ARC) mencatatkan rekod membaiki 1,236 buah motosikal yang terjejas sepanjang banjir baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, situasi itu membuktikan minat anak muda terhadap aktiviti permotoran juga boleh memberi manfaat kepada umum.

Advertisement

Katanya, jika sebelum ini umum mempunyai tanggapan negatif kepada anak muda yang minat motosikal, namun ARC membuktikan sebaliknya.

“Mereka ini adalah anak muda yang bermain motosikal pelbagai jenis jenama dan tahap kuasa kuda.

“Namun, pada masa sama mereka juga mempunyai nilai disiplin mematuhi peraturan, nilai patriotisme serta nilai tanggunjawab yang tinggi kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Justeru mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Faizzudin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh sukarelawan ARC yang terlibat dalam misi berkenaan.

Menurut Faizzuddin, dia dapat melihat semangat anak muda dizahirkan melalui misi bantuan membaiki motosikal terkesan banjir.

Sementara itu, Presiden ARC, Azha Mat Salleh berkata, rekod ARC mencatatkan ARC Wilayah Persekutuan berjaya membaiki sebanyak 50 buah motosikal, Selangor (350), Terengganu (440), Kedah (50), Johor (100) Pulau Pinang (100) Negeri Sembilan (50) dan Kelantan (96).

Menurutnya, selain membaiki dan menghidupkan motosikal yang ditenggelami banjir, sukarelawan ARC juga menyertai Jabatan Amal Malaysia (JAM) membersihkan kediaman serta premis awam.

Tambah Faizzudin, jumlah tersebut merupakan kejayaan besar bagi kelab permotoran di bawah DPPM.

“Pemuda PAS berharap agar lebih ramai anak muda di luar sana dapat menjadikan kejayaan ARC sebagai inspirasi untuk mereka turut memberikan sumbangan kepada masyarakat walau sekecil apa pun kemampuan serta sumbangan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2021