Pemuda PAS Pahang bantu JAM, aktivis PAS

KUALA LUMPUR: Simpati dengan nasib barisan hadapan Jabatan Amal Malaysia (JAM), petugas dan aktivis PAS yang terkesan banjir, Pemuda PAS Pahang tampil menyampaikan sumbangan kewangan.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, beliau bersimpati dengan nasib mangsa banjir dan memahami situasi itu menyukarkan barisan hadapan JAM, petugas dan aktivis PAS di Pahang untuk membantu mangsa lain.

“Kemuculan ‘pasukan semut merah’ yang bertungkus lumus dalam misi banjir di kebanyakan lokasi banjir dalam setiap kali bencana tidak dapat dinafikan,”

“Namun, musibah banjir yang menimpa mereka mengakibatkan kesukaran mereka untuk membantu mangsa lain,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Pada Ahad, Dewan Pemuda PAS Pahang menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa banjir di negeri itu.

Antara yang menerima sumbangan tersebut adalah exco dan ahli jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.

Menurut Aireroshairi, mereka yang menerima bantuan tersebut termasuk barisan hadapan JAM, petugas dan aktivis PAS kawasan, cawangan dan PAS yang komited dan istiqamah dengan kerja-kerja jemaah.

Sumbangan disampaikan kepada semua Ketua Pemuda Kawasan di Pahang yang terjejas dengan bencana banjir.

Aireroshairi berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang terdiri daripada aktivis PAS semua peringkat.

Katanya , antara kawasan yang terlibat dengan sumbangan wang tersebut ialah Indera Mahkota, Kuantan, Raub, Bentong, dan Temerloh.

Turut mengiringi bersama dalam penamyapaian sumbangan ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK), Dewan Pemuda PAS Pahang, Mohd Shahrizan Md Esa. – HARAKAHDAILY 17/1/2022