Bayaran royalti petroleum masih peringkat rundingan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan masih dalam proses rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sehingga kini masih lagi dalam proses rundingan dengan kerajaan Pusat.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, pemberian RM400 juta kepada kerajaan negeri bagi tahun 2020 dan 2021 merupakan pemberian wang ihsan daripada Kerajaan Persekutuan dan bukannya bayaran tunai royalti.

“Pemberian tersebut dimasukkan dalam Belanjawan Kelantan 2020 dan 2021,” katanya pada kenyataan di laman sosial Pejabat Menteri Besar Kelantan, semalam.

Menurutnya, kenyataan itu bertujuan menjelaskan situasi sebenar berkaitan penyaluran RM400 juta wang hasil petroleum kepada Kelantan sebagaimana diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kelmarin.

Media melaporkan kerajaan Persekutuan menyalurkan hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan bagi tempoh 2020 dan 2021.

Perkara itu dijelaskan pada sidang media selepas majlis taklimat Bajet 2022 bersama penjawat awam negeri Kelantan di Kota Darulnaim. – HARAKAHDAILY 18/1/2022

- Advertisement -