PAS sedia bertanding PRN Johor

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

MARANG:
PAS sedia bertanding dalam mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, jika berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan akan diambil dan PAS akan bertanding jika berlaku pilihan raya.

Ini kerana, katanya jika PRN Sarawak pun PAS bertanding apatah lagi jika PRN Johor yang lebih dekat.

Advertisement

“Nanti bubar dulu baru kita itu…(decide). Keputusan akan diambil dan PAS akan bertanding. Sarawak pun kita bertanding Johor ini dekat lagi.

“PAS akan bertanding. Macam mana cara bertanding itu akan kita lihat dari masa ke semasa,” ujarnya menjawab pertanyaan media mengenai khabar angin DUN Johor akan dibubarkan tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Namun, kata Ahli Parlimen Marang itu, setakat ini PAS belum mengadakan perbincangan tentang hal itu kerana sekadar khabar angin sahaja.

“Sehingga ini kita tak bincang kerana benda itu (ubar DUN) belum berlaku, cuma khabar-khabar angin sahaja,” jelasnya.

Selain itu, berkait isu vaksin palsu, beliau berkata, terserah kepada tugas pihak berkuasa mengambil tindakan selanjutnya.

“Itu tugas mereka yang berkewajipanlah. Biasalah dalam kehidupan manusia ini ada penipu, ada penyangak, ada oportunis, ada yang macam-macam jenis. Itu biasa dan pihak yang berkenaan pantau perkara ini,” tegasnya.

Namun, katanya sikap PAS terbuka untuk disiasat termasuk dalam kesalahan rasuah kerana mahu membersihkan parti daripada gejala tersebut.

“Kita terbuka, ahli-ahli PAS yang rasuah ke, yang apa ke, kita terbuka untuk disiasat kerana kita nak bersihkan parti kita,” jelasnya.

Tegasnya, jika terdapat laporan yang dikaitkan dengan mana-mana pimpinan dan ahli PAS, pihak parti akan mengambil tindakan disiplin. – HARAKAHDAILY 14/1/2022