Rumah terbakar tanpa sempat sambut hari lahir

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Seorang tukang rumah yang bercadang menyambut hari ulangtahun kelahirannya bertukar duka apabila rumahnya di Kampung Nara musnah dijilat api semalam.

Turut musnah dalam kebakaran terebut pelbagai alat pertukangan. Pada kejadian tersebut kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur dan stor belakang rumah.

Kejadian itu disedari jiran berdekatan yang bertindak menghubungi segera Bomba dan Penyelamat.

- Advertisement -

Mangsa, Khairul Hakimi Mat Din, 34, berkata ketika kejadian beliau sedang membaiki paip di rumah penduduk Kampung Padang Pak Amat kira-kira 7 kilometer dari rumahnya.

Manakala isterinya, Nurul Almira Abdullah, 34, bersama anak-anak berada di kedai makan di kawasan berdekatan.

“Syukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku. Cuma saya sakit pinggang dan paha selepas kereta yang dipandu terbabas ketika bergegas pulang ke rumah.

“Saya reda dengan ketentuan yang berlaku sempena hari ulangtahun kelahiran saya. Ia adalah satu ujian yang perlu dihadapi dengan tabah. Saya perlu membaiki semula rumah yang dibina hampir lima tahun lalu,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Menurutnya kerugian akibat kebaran itu dianggar lebih RM100,000 apabila turut musnah sebuah kereta Perodua Myvi bernilai RM14,000, sebuah motosikal Novo dan lima basikal milik anaknya.

Kata beliau juga paling disayangi peralatan pertukangan termasuk dua unit mesin gerjaji rantai bernilai lebih RM6,000.

Kejadian tersebut mendapat perhatian segera Adun Limbongan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah apabila tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan selepas kejadian.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jamm 1.29 petang berjaya mengawal kebakaran lebih dua jam daripada merebak ke kawasan lain. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -