MOT lulus Skim Keretapi Jajaran Seksyen C2 ECRL

Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong mengadakan lawatan kerja ke Tapak Pembinaan Terowong Genting bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), hari ini. (Foto daripada Facebook Wee Ka Siong)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah meluluskan Skim Keretapi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL} Jajaran Seksyen C2 (Gombak-Serendah-Puncak Alam-Pelabuhan Klang} semalam.

Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, seterusnya membolehkan kerja-kerja fizikal di Seksyen C2 dapat dimulakan pada suku pertama tahun 2022 ini.

Katanya, kelulusan itu adalah berdasarkan maklum balas pemeriksaan awam yang dijalankan pada suku terakhir tahun 2021, kelulusan Penilaian lmpak Alam Sekitar (EIA}, Penilaian lmpak Sosial (SIA) dan Penilaian lmpak Warisan (HIA) yang telah terdahulu diperolehi oleh Seksyen C2.

- Advertisement -

Sehubungan itu, ujarnya Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah memajukan permohonan kelulusan penuh Skim Keretapi Jajaran ECRL Seksyen C2 kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang kemudiannya memajukan dokumen tersebut beserta sokongan kelulusan mereka kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT} minggu ini.

Tambahnya, kelulusan penuh Skim Keretapi ECRL Jajaran Seksyen C2 ini diperlukan bagi memenuhi keperluan jajaran baharu yang merentasi Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah dan membolehkan satu sesi pemeriksaan awam dijalankan yang bertujuan memaklumkan orang ramai mengenai laluan rel sepanjang jajaran itu.
Beliau berkata, sesi pemeriksaan awam telah dijalankan selama tiga bulan bermula September hingga November 2021 bagi memperincikan maklum balas orang ramai ke atas Seksyen C2 di negeri Selangor.

Tambahnya, daripada 12,797 responden yang memberikan maklum balas semasa pemeriksaan awam itu, seramai 12,652 responden atau 98.87 peratus menyokong penjajaran ECRL melalui jajaran asal yang ditambah baik.

“Manakala peratusan kecil responden yang membantah ECRL untuk Seksyen C1 dan C2 pula sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh jajaran rel yang merentasi rumah atau hartanah mereka,” ujarnya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya lagi, bagi jajaran ECRL Seksyen C yang merangkumi laluan rel dari Mentakab melalui Serendah ke Pelabuhan Klang pula, persetujuan Kerajaan Negeri Selangor telah pun diperolehi dan dimaklumkan secara rasmi pada 2 Disember lalu dalam sidang media yang dipengerusikan bersama beliau dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

“MOT amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Selangor itu sudah semestinya akan memudahkan perincian semula kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek ECRL.
Katanya lagi, kontrak EPCC yang akan diperincikan itu akan mempermudahkan pelaksanaan pembinaan ECRL yang telah ditambah baik berdasarkan jajaran asal ECRL yang dilancarkan pada Ogos 2017.

Jelasnya, walaupun persetujuan Kerajaan Selangor ke atas Jajaran Seksyen C dimuktamadkan pada Disember 2021, MRL telah pun menerima Kelulusan Bersyarat Skim Keretapi Seksyen C 1 pada 6 Mei 2021 setelah mengambil kira kelulusan asal Skim Keretapi ECRL pada 23 Jun 2017.

Setakat Disember 2021, ujarnya projek ECRL telah mencatatkan tahap kemajuan sebanyak 26.49 peratus, didorong oleh kerja-kerja pembinaan yang melibatkan jajaran Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan Seksyen B dari Dungun ke Mentakab.
Kata beliau, kerja-kerja pembinaan ECRL yang termasuk kerja-kerja tanah, terowong, jambatan dan pengukuhan prefabricated vertical drains atau PVD telah bertumpu di lebih 168 lokasi utama pada tahun 2021.

“MOT komited untuk terus memastikan pembangunan infrastruktur pengangkutan berjalan dengan baik dan lancar, seterusnya dapat memberi manfaat kepada rakyat serta negara secara keseluruhannya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -