Harimau dijangkiti CDV berubah tabiat cari makan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Harimau yang ditemui berkeliaran di Pos Bihai Gua Musang baru-baru ini dikenal pasti dijangkiti Virus Canine Distemper (CDV).

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, jangkitan itu dianalisis menerusi sampel najis diperolehi lokasi berkenaan.

Katanya, harimau yang ada penyakit CDV pernah berlaku di Terengganu dahulu, di mana binatang buas itu tidak takut kepada manusia kerana penyakit tersebut.

- Advertisement -

“Perhilitan sedang menjejaki haiwan pemangsa itu untuk dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk mendapat rawatan.

“Kita menasihati masyarakat Orang Asli tidak berada dalam hutan untuk mencari hasil hutan buat sementara waktu kerana kita sedang menjalankan operasi menangkap harimau tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Baru-baru ini seorang penduduk Orang Asli Anek Bin Along, 59, maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Ketika kejadian mangsa dikatakan keluar membuang air kecil di belakang rumah kira-kira jam 9.10 pagi.

Mohamad Hafid juga berkata, tidak diketahui sama ada sampel najis itu daripada tiga harimau yang sedang dijejaki atau kumpulan harimau lain yang telah dijangkiti.

“Berdasar maklumat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, haiwan itu dipercayai dijangkiti virus tersebut akibat daripada bawaan haiwan domestik seperti anjing dan kucing.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu memaklumkan virus berkenaan menyebabkan haiwan liar itu menjadi keliru serta tidak dapat membezakan antara haiwan makanannya dan manusia.

“Haiwan liar terbabit tidak pandai menyerang dan menerkam binatang kemudian mengambil makanan dalam plastik dari tong sampah hampir dengan kediaman manusia,” katanya.

Menurutnya juga penyakit tersebut menyebabkan hidung berair dan akan berubah tabiat asal seperti harimau liar lain yang mencari makanan dalam hutan. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -