Qibti balas anak pembesar Mesir

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 27)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

IBN Abdul Hakam mengeluarkan dari Anas ra bahawa seorang lelaki rakyat Mesir datang kepada Umar al-Khattab, katanya:

‘Wahai Amir al-Mukminin! Aku berlindung denganmu dari kezaliman’ Umar menjawab: ‘Moga engkau dilindungi’

Lelaki itu berkata: ‘Aku berlumba dengan anak Amru bin Al-As, lalu aku mengalahkannya. Dia pukul aku dengan tongkatnya, dan dia berkata: ‘Aku anak dua orang yang mulia.’

- Advertisement -

Umar menulis surat kepada Amru rhma memerintahkannya datang ke Madinah dengan membawa anaknya. Amru datang bersama anaknya ke Madinah. (Tentunya perjalanan dari Mesir ke Madinah mengambil masa beberapa lama, tidak seperti sekarang).

Umar berkata: ‘Di mana lelaki Mesir itu? Ambil tongkat ini dan pukul!’ Lelaki Mesir memukul anak Amru bin Al-As. Umar berkata:
اضرب ابن الاكرمين
‘Pukul anak dua orang yang mulia ini’

Anas berkata: ‘Dia pukul, demi Allah! Memang dia pukul, dan kami suka dia pukul. Dia tidak berhenti memukul sehingga kami harap dia berhenti memukul’.

Umar berkata kepada lelaki Mesir: ‘Pukul atas kepala Amru’.

Lelaki Mesir berkata: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Anak yang pukul saya. Saya sudah membalasnya.’

Umar berkata kepada Amru:
متى استعبدتم الناس وقد ولدتهم أمهاتهم أحرارا
‘Bilakah kamu memperhambakan manusia sedangkan ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka.’

Amru menjawab: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Aku tidak tahu (kes itu), dan dia tidak datang kepadaku.’

(Hayatus-Sahabah, Al-Kandahlawi 2/97)

Beberapa pengajaran dari kisah ini:

  1. Rakyat boleh mengadu kepada pemimpin utama kerajaan jika pegawai atau pemimpin dibawahnya melakukan kezaliman atau penindasan.
  2. Pengaduan mestilah dengan ada fakta kes yang jelas supaya tindakan susulan dapat dibuat. Seringkali pengaduan dibuat secara sembrono atau tanpa fakta kes yang kukuh menyebabkan sukar diambil tindakan.
  3. Berlumba kuda atau selainnya dibenarkan oleh syarak, dengan syarat tiada unsur judi.
  4. Kelebihan menjadi golongan atasan, atau istilah sekarang ‘kluster kayangan’ bukanlah menjadi tiket untuk membuli orang lain atau rakyat biasa. Sifat merasa diri lebih dari orang lain ini menjerumuskan seseorang ke lembah kehinaan.
  5. Peranan pemerintah ialah menegakkan keadilan sebaik mungkin tanpa mengira status, jawatan, pangkat dan kedudukan.
  6. Manusia dilahirkan dengan bebas dan merdeka, tanpa memikul beban kesalahan orang lain, dan tidak menjadi hamba kepada orang lain, melainkan menjadi hamba kepada Allah sahaja.
  7. Orang yang dituduh boleh mempertahankan dirinya dan memberikan alasan yang kukuh. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -