Anjing jaga kebun disyaki bawa virus ancam harimau liar

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing menyarankan kerajaan melaksanakan vaksinasi CDV terhadap lebih 100 ekor anjing yang dipelihara bagi menjaga kebun.

Timbalan pengerusi persatuan itu, Yusup Abdul Rahman berkata, haiwan terbabit dipercayai menjadi pembawa (host) Virus Canine Distemper (CDV) yang menjadi ancaman terhadap harimau liar.

- Advertisement -

Katanya, difahamkan penyakit tersebut merupakan punca utama kepupusan Harimau Malaya, selain faktor kehilangan habit asal, aktiviti pemburuan haram serta kekurangan sumber makanan di belantara.

“Kita terkejut dengan laporan sampel najis harimau mengandungi CDV, sekiranya benar penemuan itu ada tanda virus CDV, maka kita ada saran diberikan vaksin CDV terhadap anjing yang dipelihara lebih 200 pekebun.

“Kita minta setiap ahli segera memaklumkan bilangan anjing, begitu juga yang dipelihara Orang Asli supaya dapat diberikan vaksin,” katanya ketika ditemui di sini.

Semalam Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, harimau yang ditemui berkeliaran di Pos Bihai Gua Musang baru-baru ini dikenal pasti dijangkiti virus Canine Distemper.

Menurutnya jangkitan itu dianalisis berdasar sampel najis diperolehi di lokasi berkenaan.

Yusup juga mendakwa anjing yang dipelihara menjaga tanaman dan haiwan perosak khususnya babi terletak kira-kira 20 kilometer dari Kampung Pos Bihai yang terlibat kejadian keganasan harimau.

Oleh itu beliau berharap kerjasama semua pekebun dan Orang Asli mengutarakan masalah tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mendapat suntikan vaksin CDV. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -