Undi18 perlu dipandu pilih pemimpin mampu bela agama

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan 1.2 juta remaja berusia 18 hingga 21 tahun menjadi pemilih baharu.

Mereka akan memikul tanggungjawab besar bagi memilih pemimpin untuk mentadbir negara.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Perlis, Nik Mohamad Firdaus Nordin berkata, golongan pengundi terbabit bakal menjadi pengundi kali pertama pada PRU-15.

Katanya peranan mereka bukan kecil bagi memastikan sistem demokrasi di negara ini berjalan lancar.

- Advertisement -

“Remaja sekarang seawal umur 13 tahun sudah mahir dan terdedah dengan media sosial. Isunya sekarang bagaimana mereka boleh menilai isu yang begitu banyak berlegar di media sosial.

“Mereka perlu diberi panduan bagi memilih pemimpin yang boleh membela agama, bangsa dan mempertahankan negara.

“Ini perkara paling asas. Pengundi 18 perlu diberi pendedahan bagi memastikan negara kita terus aman dan harmoni,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dato’ Abdul Ghani Salleh memberitahu seramai 5.8 juta bakal pengundi yang didaftar secara automatik akan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Mereka termasuk pengundi 18 tahun yang didaftar secara automatik berkuatkuasa 15 Disember lepas. Senarai pengundi terbabit dicadang untuk diperaku dan diwartakan 14 Januari ini.

Muhammad Hafiz Paizull Azhar, 26, pula berkata, pendekatan untuk menarik minat golongan remaja tentunya berbeza dan perlu sesuai dengan peringkat umur mereka.

“Undi18 sangat bagus kerana kerajaan perlu mendengar suara mereka disebabkan golongan itu akan menjadi penggerak utama kemajuan sesebuah negara.

“Anak muda juga sedang tercari-cari pemimpin yang berjiwa rakyat dan mampu mendalami kesusahan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Tidak salah rasanya, jika saya memberi contoh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang begitu mesra menyantuni rakyat tanpa mengira siapa mereka,” katanya.

Bagaimanapun beliau berharap umat Islam perlu bersatu kerana sejarah membuktikan hanya Islam sahaja yang mampu menyatu padukan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Bagi Nur Fadhilah Abdul Wahab, 24, anak muda zaman sekarang dianggap mampu untuk membuat pilihan sendiri.

“Bagi saya ada baik dan buruk, kerana remaja yang berumur 18 tahun ada yang sudah boleh membuat keputusan sendiri. Namun ada juga yang hanya mengikut kawan,” ujarnya.

Bagi Nur Fadhilah pengundi 18 hendaklah menggunakan peluang PRU15 untuk memilih pemimpin Melayu/Islam yang mempunyai integriti tinggi dan berpengetahuan dalam agama. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -