TLDA dan TLDM perkukuh hubungan dua hala

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lawatan Panglima Tentera Laut Diraja Australia (TLDA) Naib Laksamana Michael Noonan ke atas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany adalah untuk memperkukuh hubungan dua hala antara TLDM dengan TLDA.

Ketibaan Noonan di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini disambut Mohd Reza serta barisan pengurusan tertinggi TLDM dan dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan utama.

- Advertisement -

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM, Noonan turut membuat kunjungan hormat ke atas Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang di pejabatnya.

“Lawatan Noonan turut membuka peluang untuk memperkasakan kerjasama serantau daripada aspek keselamatan maritim serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang sudah lama wujud antara TLDA dan TLDM.

“Kerjasama erat TLDM dan TLDA terus diperkasa dengan penyempurnaan Majlis Tandatangan Navy-to-Navy Talks Terms of Reference (N2NT) dan Malaysia-Australia Exercise Business Rules (MASTEX) oleh kedua-dua Panglima Tentera Laut berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Dokumen N2NT Terms of Reference merupakan bahan rujukan dan prosedur kepada pelaksanaan siri Mesyuarat Bilateral N2NT antara TLDM dengan TLDA yang telah dikemas kini. Sehingga 2021, sebanyak 14 siri N2NT telah diadakan dan siri ke-15 dijadualkan pada 20 Januari ini.

MASTEX Business Rules yang sebelum ini dikenali sebagai MASTEX Standard Operating Procedures pula adalah dokumen yang menggariskan prosedur tetap pelaksanaan MASTEX yang telah ditambah baik dan dikemas kini.

MASTEX merupakan latihan bersama TLDM-TLDA yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Noonan yang sedang dalam rangka lawatan ulung beliau sejak mengambil alih jawatan tertinggi TLDA pada 7 Julai 2018 tiba bersama delegasinya ke Malaysia semalam. – BERNAMA 13/1/2022

- Advertisement -