Kes Covid-19 meningkat: Arab Saudi yakin Omicron bakal reda

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

Di sebalik kemunculan varian terbaharu virus Covid-19 dikenali sebagai B.1.640.2 atau IHU yang menurut laporan cbsnews pada 4 Jan 2022 telah dikesan di Marseille, Perancis sejak Nov 2021 dan sudah menjangkiti 12 mangsa, dunia juga telah dikejutkan dengan kes pertama Florona yang dilaporkan di Israel pada 30 Dis 2021.

Tidak seperti Alpha, Beta, Delta, Omicron, IHU dan lain-lain, Florona sebaliknya bukan mutan atau varian baharu koronavirus kerana ia lebih kepada kes jangkitan pernafasan berganda yang disebabkan oleh Covid-19 dan patogen influenza. 

- Advertisement -

Namun, fokus global sekarang ini ialah bukan kepada IHU atau florona, tetapi sudah tentu terhadap Omicron yang kini berstatus gelombang varian baharu Covid-19 yang mulai melanda seluruh dunia.

Menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 15 Dis 2021, sejak kes pertama Omicron dilaporkan dikesan di Afrika Selatan pada 26 Nov 2021, ia kini telah merebak pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Buktinya dalam tempoh tidak sampai sebulan, ia telah disahkan menular di 77 negara seluruh dunia termasuk di Malaysia. Justeru, adakah gelombang Omicron ini akan mendominasi dunia dalam masa terdekat ini?

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar ketika itu berkata, Omicron berkemungkinan sudah menular melebihi 77 buah negara, dan beliau telah melahirkan kebimbangan.

“Walaupun Omicron menyebabkan penyakit yang kurang teruk berbanding varian Covid-19 sebelum ini, namun jumlah kes (jangkitan Omicron) yang meningkat dengan banyak dan cepat ketika ini boleh mengatasi keampuhan sistem kesihatan yang tidak bersedia menanganinya kerana masih dibebani dengan kes varian Covid-19 yang muncul sebelum Omicron,” katanya.

Sehingga 15 Disember 2021, varian Omicron disahkan telah menular di 77 buah negara seluruh dunia.

Sehubungan itu, polemik Omicron muncul khususnya apabila bilangan kes Covid-19 meningkat di Arab Saudi yang dikaitkan dengan pertambahan kes jangkitan varian berkenaan, dan terkait pula dengan kehadiran penduduk dari pelbagai negara Islam seluruh dunia termasuk Malaysia yang berkumpul di Mekah bagi menunaikan umrah.

Dalam kes Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 4 Jan 2022 telah mengumumkan kes terkumpul Covid-19 angkara jangkitan Omicron sudah mencecah 122 kes, dengan 76 peratus daripadanya sepanjang bulan Disember 2021 membabitkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi.

Dalam pada dunia sedang menghadapi gelombang Omicron, muncul satu lagi varian baharu Covid-19 dikenali sebagai IHU yang mula dikesan di Perancis sejak Nov 2021.

Analisis HarakahDaily sehubungan itu mendapati, kes Covid-19 di Arab Saudi yang pernah mencapai angka sifar pada 14 Sept 2021 sebelum meningkat kembali dan kini tiada tanda-tanda penurunan apabila bilangan kes jangkitan terbaharu pada 5 Jan 2022 dicatat sebanyak 3,045 kes, dikaitkan dengan kemunculan  jangkitan Omicron.

Merujuk kepada data Covid-19 JHU CSSE, selepas Afrika Selatan mengumumkan kes pertama Omicron di negara itu pada 26 Nov 2021 yang dikatakan juga sebagai kes pertama di dunia, kes Covid-19 di Arab Saudi yang kembali meningkat pada 14 Sept 2021 itu pada mulanya turun kepada angka terendah sebanyak 24 kes pada 2 Dis 2021.

Dr Mohammed mengakui maklumat yang dikumpulkan menunjukkan Omicron menular dengan pantas dan ada kaitan dengan lonjakan jumlah kes jangkitan di Arab Saudi.

Namun, pada 19 Dis 2021 ia menunjukkan pertambahan ketara apabila melebihi 100 kes baharu iaitu sebanyak 104 kes dan sejak itu, bilangan kes harian Covid-19 terus bertambah tanpa berlaku sebarang penurunan sehinggalah 3,045 kes dicatat pada 5 Jan 2022.

Justeru, pertambahan bilangan kes harian Covid-19 di Arab Saudi itu dilihat selaras dengan kemunculan pertama kali varian Omicron di Afrika Selatan apabila pada 1 Dis 2021, AFP melaporkan kes pertama Omicron di Arab Saudi yang berpunca daripada seorang warganya yang baru pulang dari Afrika Utara.

Pada minggu sebelumnya, Arab Saudi telah membatalkan penerbangan dari tujuh negara di selatan Afrika termasuk Afrika Selatan, namun penerbangan dari Afrika Utara tidak terjejas.

Mekah mula dibuka kepada jemaah Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan umrah bermula pada 10 Ogos 2021.

Terdahulu, pada Oktober 2021, Arab Saudi mula melonggarkan sekatan dan membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan sosial.

Pada 26 Dis 2021, Arab News melaporkan jumlah kes baharu Covid-19 di Arab Saudi semakin meningkat dengan pantas disebabkan varian Omicron dengan jangkitan naik lebih sekali ganda dalam tempoh seminggu.

Dalam satu sidang media pada 26 Dis 2021 berkenaan, jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi (MOH), Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly berkata, banyak negara menyaksikan lonjakan kes Covid-19 termasuk Arab Saudi.

Susulan penularan Omicron, Arab Saudi kini mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dalam semua acara serta aktiviti di dalam dan luar bangunan.

Justeru, negara itu menekankan akan kepentingan vaksinasi dan suntikan penggalak buat rakyatnya, dengan pemvaksinan untuk golongan kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun bermula pada 21 Dis 2021.

Seterusnya pada 3 Januari 2022, ketika muncul dalam program YaHalaShow yang disiarkan secara langsung melalui saluran Rotana Khalijiya, Dr Mohammed mengumumkan bahawa kira-kira  95 peratus penduduk Arab Saudi dengan kumpulan sasar umur tertentu  sudah melengkapkan dos vaksin.

Tolak langkah kawalan ketat

Beliau sehubungan itu mengumumkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi menolak langkah kawalan lebih ketat ketika varian Omicron menular, dengan menegaskan bahawa  gejala pandemik  di Arab Saudi pada masa ini tidak sama seperti yang berlaku ketika awal penularan Covid-19 pada 2020.

Menurut beliau,  Arab Saudi sudah melakukan yang terbaik untuk membendung penularan Covid-19 dan tahap kesedaran orang ramai terhadap virus berkenaan juga tinggi. 

Kes pertama jangkitan Omicron dilaporkan di Afrika Selatan pada 26 Nov 2021.

“Daya imun penduduk Arab Saudi juga  tinggi selepas kerajaan memperhebatkan program vaksinasi negara,” ujarnya.

Beliau mengakui maklumat yang dikumpulkan menunjukkan Omicron menular dengan pantas sekali, dan ini menerangkan lonjakan pada jumlah kes jangkitan di Arab Saudi.

Beliau turut mendedahkan kebanyakan kes jangkitan yang dipantau adalah dalam kalangan penduduk yang belum menerima vaksin dan belum lengkap divaksin.

“Penularan Omicron akan reda tidak lama lagi, terutama sekali selepas langkah pencegahan dilaksanakan semula,”  katanya.

Penularan Omicron yang menurut WHO telah merebak pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini mulai menimbulkan kebimbangan global.

Menurutnya lagi, dapatan kajian membuktikan dos ketiga vaksin mampu melindungi individu daripada dijangkiti virus berkenaan, di samping membendung penularan virus.

“Kajian juga membuktikan gejala jangkitan adalah ringan bagi mereka yang dijangkiti virus COVID-19 jika lengkap divaksin,” tegasnya. 

Impak terhadap jemaah umrah Malaysia

Namun begitu, senario sebaliknya melanda Malaysia apabila 76.1 peratus kes Omicron yang direkodkan pada bulan Disember 2021 atau 928 daripada 1,220 kes keseluruhan positif Covid-19 berkemungkinan membabitkan jemaah umrah yang baru pulang dari Mekah di Arab Saudi.

Merujuk kepada Twitter Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bertarikh 5 Jan 2022, data itu diperoleh daripada hasil ujian PCR Genotyping Assay oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang  dibuat terhadap 1,774 kes positif Covid-19, membabitkan pengembara yang tiba di negara ini pada bulan berkenaan.

Khairy Jamaludin (kanan) dan Dr Noor Hisham bergandingan memberikan info terkini tentang kes jangkitan Omicron di Malaysia khususnya yang dikaitkan dengan jemaah yang pulang dari menunaikan umrah di Mekah, Arab Saudi.

“Ujian PCR Genotyping Assay dijalankan oleh IMR ke atas 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia untuk tempoh 1 hingga 31 Disember 2021 mendapati, 1,220 (68.8 peratus) sampel adalah berkemungkinan (presumptive) Omicron dan 928 (76.1 peratus) daripadanya pulang dari Arab Saudi,” katanya.

Berdasarkan infografik yang turut dimuat naik Dr Noor Hisham, pada 4 Jan 2022, 39 kes baharu Omicron yang membabitkan pengembara rakyat Malaysia yang berlepas pulang dari Arab Saudi telah direkodkan.

Ia membabitkan sembilan kes berdaftar di Selangor diikuti Johor (lapan), Terengganu, Kedah dan Kelantan (masing-masing empat), Perak (tiga), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Labuan dan Sabah.

Sebanyak 20 kes berada dalam kategori satu, manakala 12 kes kategori dua dan hanya satu kes kategori tiga.

Arab Saudi mengumumkan kira-kira 95 peratus penduduk negara itu dengan kumpulan sasar umur tertentu sudah melengkapkan dos vaksin.

Sebanyak tujuh lagi kes Covid-19 varian Omicron membabitkan pengembara berlepas dari UAE, United Kingdom (empat), Nigeria (dua) serta masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis.

Pada 4 Jan 2022 juga, KKM mengumumkan sebanyak 58 kes positif Covid-19 disahkan angkara varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah itu, 54 kes merupakan jangkitan import dan empat lagi adalah penularan tempatan.

“Dengan keputusan terbaharu ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sehingga 30 Disember 2021, 1,306 daripada jumlah keseluruhan 11,108 jemaah umrah yang tiba di Malaysia dari Mekah, Arab Saudi telah dikesan positif Covid-19.

Mengulas mengenai penularan Omicron tempatan, beliau menjelaskan, kesemua kes tersebut dilaporkan di Kedah pada 4 Januari 2022.

“Keempat-empat kes merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 varian Omicron yang pulang dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember dan disahkan positif pada 24 Disember 2021,” ujar  beliau.

Menurutnya, pendedahan kepada kes itu berlaku pada 13 Disember 2021 dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori dua pada 17 Disember 2021.

“Ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan pada 19 Disember adalah positif dengan nilai ambang (CT Value) di antara 20.80 hingga 21.49.

“Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Kebenaran perjalanan umrah digantung

Sebelum jumlah kes Omicron terkumpul di Malaysia kini mencecah 122 kes, KKM pada 31 Dis 2021 telah mengumumkan kes pertama varian tersebut di negara ini, melibatkan seorang pelajar warga  Afrika Selatan berusia 19 tahun yang merupakan seorang pelajar universiti swasta di Ipoh, Perak.

Pelajar tersebut telah didapati positif Omicron pada 19 Nov 2021 dan telah selesai menjalani kuarantin kendiri pada 29 November 2021. Kes itu berlaku sebelum Afrika Selatan mengumumkan kes pertama di negara itu pada 26 Nov 2021.

Kerajaan Malaysia memutuskan kebenaran perjalanan umrah ke Mekah untuk rakyat Malaysia digantung bermula 8 Januari 2022.

Sehubungan itu, Khairy mengumumkan melalui Twitternya, apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk berusaha memperlahankan kadar penularan Omicron.

Susulan itu pada 1 Jan 2022, Khairy mengumumkan bahawa kebenaran perjalanan umrah untuk rakyat Malaysia akan digantung sementara mulai 8 Januari 2022, dan jemaah yang pulang dari Arab Saudi pula akan dikenakan kuarantin wajib di pusat yang ditetapkan, bermula 3 Jan 2022. 

Sehubungan itu, penjualan tiket untuk jemaah umrah baharu akan digantung mulai 1 Januari 2022 dan tiada perjalanan untuk tujuan umrah dibenarkan selepas 7 Januari 2022 sehingga tarikh baharu diumumkan pada masa hadapan.

Dalam pada itu juga, tempahan tiket penerbangan umrah baharu juga digantung berkuat kuasa 1 Jan 2022.

“Jemaah umrah yang pulang ke Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mulai 3 Jan 2022,” katanya.

Ketika ini sebilangan jemaah Malaysia sedang yang dikesan positif Covid-19 sedang menjalani kuarantin di Mekah.

Jemaah yang berlepas ke Arab Saudi antara 1 hingga 7 Januari  2022 bagaimanapun dibenarkan untuk meneruskan umrah tetapi perlu menjalani kuarantin di stesen atau hotel yang ditetapkan sebaik pulang ke Malaysia.

“Penangguhan sementara aktiviti umrah diharap dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron untuk melindungi kapasiti sistem kesihatan negara.

“Penangguhan umrah kerana 76 peratus presumptive (berkemungkinan) Omicron yang diimport pada Disember dari jemaah umrah,” tegasnya.

Bermula 3 Januari 2022, jemaah umrah yang pulang ke Malaysia dari Mekah perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti oleh Nadma.

Menurutnya, bermula pada 13 Oktober 2021, kumpulan pertama jemaah dari Malaysia berlepas ke tanah suci untuk mengerjakan umrah dan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi tujuan berkenaan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Oktober 2021.

“Sehingga 30 Disember 2021, seramai 11,108 jemaah umrah yang tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus dikesan positif Covid-19.

“Daripada jumlah itu, 592 dikesan positif pada ujian pertama ketika hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan positif Covid-19 pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

“Perhimpunan berskala besar membabitkan jemaah dari pelbagai negara ketika di Arab Saudi mendedahkan rakyat Malaysia kepada risiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron,” katanya.

Tambah Khairy,  jemaah sukar untuk mematuhi SOP umrah yang ditetapkan kerajaan Malaysia, selain berkemungkinan dijangkiti ketika berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan adalah negatif sebelum bertolak pulang ke Malaysia.

Penduduk di seluruh dunia kini sedang diuji dalam menghadapi arus gelombang penularan varian Omicron.

Sementelah mengikut SOP Arab Saudi, individu yang dikesan positif ketika ujian pra-pelepasan tidak dibenarkan menaiki penerbangan, tetapi kontak rapat individu berkenaan masih boleh meneruskan perjalanan pulang ke negara masing-masing.

“Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 hingga 1,000 orang sehari, menggunakan empat penerbangan khas, meningkatkan lagi risiko pengimportan kes Covid-19 dan varian Omicron ke dalam negara,” jelas beliau.

Menurut Khairy lagi, kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari.

“Namun apabila berlaku tidak kepatuhan SOP, kes-kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah umrah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan kepada ahli keluarga.

“Justeru, saya kena laksanakan tugas bersandarkan statistik dan data semasa, malah tiada menteri Muslim, beragama Islam yang ingin tangguhkan ibadat umrah, cuma ia terpaksa dilakukan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 6/1/2022

- Advertisement -