Kelantan catat ‘surplus’ lima tahun berturut–turut

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kedudukan kewangan kerajaan Kelantan pada tahun 2021 kekal berdaya tahan walaupun beroperasi dalam persekitaran ekonomi yang lebih mencabar akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan kekal optimis bagi menambah baik pengurusan kewangan dan mempergiatkan usaha untuk mempelbagaikan asas hasil negeri.

Katanya, prestasi Akaun Semasa Kerajaan Negeri mencatat lebihan sebanyak RM47.61 juta menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.17 juta atau 4.77 peratus berbanding tahun 2020.

- Advertisement -

“Syabas dan tahniah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri serta semua pegawai dan kakitangan di atas prestasi kewangan yang mencatatkan lebihan (surplus).

“Prestasi itu dalam tempoh selama lima tahun berturut–turut bermula tahun 2017,” katanya pada ucapan sempena Amanat Menteri Besar Kelantan 2022 di Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kob, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan.

Ahmad berkata, prestasi yang baik itu diuruskan melalui pelan–pelan tindakan transformasi kewangan ke arah ‘matching’ di antara hasil dan belanja melalui rasionalisasi semula kutipan hasil, kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan bagi menghadapi kebiasaan baharu.

Menurutnya lebihan hasil tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk program-program kebajikan rakyat dan pembangunan insan bagi pemulihan pasca Covid-19.

Kata beliau juga sepanjang 2021, kerajaan berjaya menumpukan pemulihan ekonomi, meningkatkan kecekapan urus tadbir dan kewangan negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjamin.

“Alhamdulillah, walaupun Kelantan tidak mengalami musibah banjir besar tahun ini, saya bersyukur rakyat Kelantan menunjukkan keprihatinan tinggi membantu mangsa–mangsa banjir di Pahang dan Selangor.

“Kerajaan Negeri melalui sumbangan Tabung Serambi Mekah menghulurkan sumbangan RM200,000 kepada Kerajaan Pahang dan Selangor sebagai tanda solidariti bersama,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri menguruskan peruntukan sebanyak RM2 juta di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi keperluan di Pusat Pemindahan Banjir di Kelantan.

Beliau turut mengucap penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kerjasama erat pengurusan banjir pada tahun ini termasuk penyaluran bantuan Wang Ihsan Banjir. – HARAKAHDAILY 6/1/2022

- Advertisement -