Banjir: RM100,000 bantu anak Perantau

Ustaz Wan Sukairi menyaksikan majlis menyerahkan sumbangan RM100 Ribu oleh Mohd Roslan (dua kiri) kepada wakil Perantau, Mohd Hafizullah (kanan) dan disaksikan oleh Adun Wanita, Zuraida Mohd Nor
- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu tidak lepas tangan sebaliknya mengambil inisiatif membantu anak-anak Terengganu di perantauan yang terlibat secara langsung dengan musibah banjir besar dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00 kepada Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM100,000.00 itu sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan kepada anak-anak Terengganu di perantauan.

Malah, katanya sebagai tambahan kepada bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan Persekutuan kepada mangsa-mangsa musibah banjir yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Ini sebagai suatu tanda keprihatinan dan kebersamaan kerajaan negeri (Terengganu) khususnya kepada rakyat negeri Terengganu yang berada di perantauan.

“Maka, kerajaan negeri telah pun bersetuju untuk memberikan satu jumlah RM100,000.00 kepada anak-anak Terengganu di perantauan yang terlibat secara langsung dengan musibah banjir itu.

“Kita (kerajaan) menyerahkan sumbangan ini kepada wakil Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) yang menjadi persatuan induk. Pertama, mengenal pasti senarai mereka (mangsa) yang terlibat dalam musibah banjir ini. Kedua, mengagihkan sumbangan ini kepada anak-anak Terengganu di perantauan yang terlibat dengan banjir itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Kerajaan Negeri Terengganu kepada Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Seniar Vice President Executive Director Office Terengganu Incorporated Sdn. Bhd, Mohd Roslan mamat, Wakil Sekretariat Perantau, Mohd Hafizullah Muda dan Pengarah Urusetia Belia Sukan NGO Terengganu (UBSNT), Ustaz Nasir Razak.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam merakamkan, ucapan terima kasih kepada pihak Terengganu Inc. atas sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada mangsa-mangsa musibah banjir tersebut.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Terengganu Inc. yang sudi memberikan sumbangan CSR mereka kepada mangsa-mangsa banjir.

“Selain itu, kerajaan Persekutuan juga memberikan sumbangan yang besar dan hampir RM61,000 kepada mangsa-mangsa banjir mengikut kategori kerosakkan harta benda seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika ucapan menyambut Tahun Baharu 2022,” ujarnya.

Selain itu, menurut Ustaz Wan Sukairi inisiatif menjejaki anak-anak Terengganu yang menjadi pengundi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) juga dilakukan oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing.

“Di Terengganu ini, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) masing-masing juga ada mengadakan inisiatif masing-masing.

“Mereka menjejaki anak-anak Terengganu, yang menjadi pengundi-pengundi di DUN mereka, yang terlibat dengan banjir juga akan disantuni serta diberikan saguhati sebagai tanda kebersamaan dan ambil ‘cakna’ daripada PKM ADUN kepada anak-anak Terengganu di perantauan yang terlibat dengan musibah banjir ini,” jelasnya.

Menurutnya, musibah banjir yang berlaku pada 16 Disember lalu itu melibatkan beberapa buah negeri seperti Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan yang paling terjejas dan yang terkini negeri Johor. – HARAKAHDAILY 4/1/2021

- Advertisement -