Cabaran terbesar menerajui pertanian Terengganu

TENTUNYA tanpa ragu kita jawab, cabaran paling besar ialah untuk mengubah cara berfikir sama ada cara berfikir pegawai kerajaan serta minda rakyat.

Yang kita perlukan ialah sepasukan pegawai yang komited dan jujur, tidak sekadar mengemukakan laporan berbentuk kosmetik apabila diminta sedangkan realitinya jauh berbeza, ada kreativiti, bersegera dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan seterusnya melayan rakyat dengan sebaiknya.

Advertisement

Saya tak kisah dengan pegangan politik masing-masing di kalangan pegawai, tapi mereka perlu menjadi pegawai yang berkhidmat dengan ‘goverment of the day’. Orang politik datang dan pergi silih berganti, pegawai akan berkhidmat sampai habis kontrak atau pencen. 

Satu lagi saya tekankan, biarlah kita sebagai kakitangan kerajaan ada ‘sense of belonging’ dengan tempat kita kerja cari rezeki. Pernah di awal pertukaran kerajaan dulu, saya tanya seorang pegawai, sebab apa kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) ini banyak semak-samun? Dalam TKPM ini ramai peserta dan staf. Boleh beli racun rumpai dan buat gotong-royong. 

Jawapan beliau agak mencuit gegendang telinga. “Ini kawasan milik kerajaan, sepatutnya kerajaan keluarkan tenderuntuk kerja pembersihan!” Habis itu awak datang kerja 8 pagi – 5 petang buat apa? Semua benda nak harap tender?

Saya juga inginkan sekumpulan pegawai yang rapat dengan rakyat. Buka pintu pejabat seluasnya untuk melayan rakyat. Bila rakyat mari pejabat, tentunya ada urusan yang mereka perlu sempurnakan dan urusan ini hanya boleh buat di pejabat. Jangan biarkan mereka meninggalkan pejabat dengan hampa. Walau mungkin mereka mari hanya pakai selipar Jepun tapi mereka adalah pelanggan kita. Layani dan hargai mereka.

Buat kerja jangan bertangguh. Istilah saya, jangan ada file tidur atas meja. Biarlah file tidur atas rak dengan makna kerja telah siap dan file boleh disimpan. Kerja hari ini siapkan segera hari ini. Esok kerja baru akan datang. Bila kerja kelmarin belum siap, maka ia akan menimbun dan tertunggak.

Follow up setiap tugas dan kerja sampai selesai. Jangan berhenti setengah jalan kemudian buat tak tahu. Nak kena tanya dulu baru kalut semula. Setiap kerja yang dibuat mesti ada end result.

Saya juga tak berapa gemar dengan jawapan dalam mesyuarat menggunakan istilah ‘masih di peringkat kajian atau kerja dalam proses’. 3 tahun masa berlalu masih tak selesai lagi kaji. Bila nak mula kerja? Kalau masih dalam proses, perincikan peringkat mana sekarang? Proses rekabentuk, proses tender, proses nak masuk tapak atau proses apa?

Tekankan konsep kerja adalah suatu ibadat. Turun rumah setiap hari dengan niat nak kerja untuk cari rezeki yang halal bagi diri sendiri dan keluarga adalah suatu perjalanan fii sabilillah yang diganjari pahala oleh Allah. Bila ia adalah suatu ibadat maka apakah kita nak buat sambil lewa?

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa 
Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 3/1/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/401974207961520/posts/463161371842803