Tersentuh ucapan mangsa banjir reda ketentuan Allah

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH:
Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ustaz Mohd Rizal Idris menzahirkan rasa terharu mendengar kata-kata seorang mangsa banjir yang reda dengan ujian Allah susulan bencana banjir yang berlaku.

Menurutnya, kata-kata itu diucapkan oleh mangsa banjir tersebut semasa menerima sumbangan PAS Kawasan Hang Tuah Jaya yang diserahkan dalam satu program edaran di Lubok China, di sini, hari ini.

“Bagi yang senang mereka suatu hari mungkin akan bertemu kesusahan. Bagi yang susah mereka sudah biasa susah. Macam pak cik ni tadi. Kita tengok ucapan dia tadi, reda dengan ujian Allah SWT.

- Advertisement -

“Sesetengah kita sukar menerima ujian Allah SWT ini. Tapi golongan yang susah macam ni biasanya mereka lebih mudah reda,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Melaka turut mendoakan semoga semua mangsa banjir diberikan kesabaran dan keteguhan iman dalam berdepan musibah itu.

“Apa yang datang adalah ujian Allah SWT. Tidak kecil, tidak besar. Kita kena menerima sesuatu yang tidak dijangka. Semoga penduduk-penduduk Lubok China yang terjejas bersabar sebab ada hikmah sebaliknya,” ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, sumbangan yang diserahkan pada hari ini terdiri daripada barang-barang keperluan harian, pakaian dan wang tunai.

Selain sumbangan dalam bentuk wang tunai dan makanan diserahkan terus kepada beberapa orang mangsa banjir, sebanyak 10 beg berisi pakaian pula diserahkan kepada khemah Pusat Bantuan Banjir Ahli Parlimen Masjid Tanah di Pekan Lubok China.

Selain sumbangan daripada PAS Kawasan Hang Tuah Jaya turut menghulurkan sumbangan di dalam program ini ialah PAS Cawangan Cherana Putih, salah sebuah cawangan dalam PAS kawasan. – HARAKAHDAILY 26/12/2021

- Advertisement -