Op PPS selami denyut rasa mangsa banjir

- Advertisement -

PAYA BESAR: Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Kawasan Paya Besar telah melaksanakan ‘Op PPS’ menyantuni para mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar DUN Panching, di sini kelmarin.

Kerja-kerja pembersihan mencuci premis dan serahan sumbangan ini telah mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Nurhana Pahang dan Ameerah Kawasan Paya Besar serta Pusat Khidmat ADUN Panching.

- Advertisement -

Pimpinan Muslimat PAS Paya Besar yang turut bersama adalah Timbalan Ketua, Nursuryati Razali dan Pengerusi Lajnah Kebajikan, Sabariah Muda serta Setiausaha Nurhana Pahang, Nurhidayah Mamat.

Menerusi program ini selain menyantuni para mangsa atas kejadian yang menimpa, keperluan mereka turut direkodkan untuk diusahakan bantuan susulan bagi meringankan beban ditanggung akibat bencana ini.

“Tujuh PPS yang sempat kami pergi hari ini antaranya SK Permatang Badak, SMK Bukit Rangin, Dewan Orang Ramai Permatang Badak, SK Pandan, SMK Pandan, SMK Padang Garuda dan insya-Allah kita akan sambung lagi ke PPS lainnya esok termasuk di Sungai Lembing jika keadaan membenarkan. 

“Selepas ini kita juga akan menyediakan petugas operasi mencuci iaitu ‘Op Cuci’ memandangkan mendapat permintaan tenaga Muslimat untuk membersihkan barangan kecil seperti membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya,” kata Sabariah.

Khasidah Syahira Rosli, 23 menceritakan pengalaman beliau telah biasa menghadapi banjir setiap tahun, merasa bersyukur selama lima hari berada di PPS SMK Pandan yang cukup keperluan makan dan ada juga dermawan menghantar pakaian terpakai.

“Saya tinggal situ dari ayah saya, tinggal dekat tanah ayah, dah biasa dari dulu lagi banjir. Banyak juga habis, tiap-tiap tahun habis. Kadang-kadang tak sempat juga nak angkat semua barang, sebab rumah pun kecil je, kita angkat barang penting macam mesin basuh, peti, kita letak atas,” katanya.

Lain ceritanya pula dengan Sabariah Zainal, 60 yang berada di PPS SK Pandan di mana beliau datang dari Bera ke rumah anaknya Norhazlin Mad Noor, 41 di PAKR Sungai Pandan turut terkandas banjir. 

Menurut cerita Norhazlin pula, selama lapan tahun beliau tinggal di sana, inilah banjir paling teruk selepas banjir besar pada tahun 2013 di mana beliau tidak sempat merasai kerana ketika itu beliau tidak tinggal di situ lagi.

“Pada awalnya mereka suruh pindah tu sebab takut putus jalan nak keluar, tak sangka pulak air nak naik macam tu. Sebab saya duduk situ lepas banjir besar 2013, masuk tahun ni saya duduk situ lapan tahun, ini banjir paling teruk. Sebelum ini saya tak pernah pindah, ini pengalaman pertama saya pindah. 

“Mula-mula masuk sebak. Hari pertama duduk PPS, dalam hati kata tak de apa kut. Sebab kita tak pernah rasa sebelum ini. Bangun pagi keesokannya, tengok Whatsapp group taman, terkejut macam nak pengsan, rumah nampak bumbung. 

“Tapi tetap redha dengan ujian ini, tapi dalam hati tu tetap rasa sedih,” ujar Norhazlin menceritakan perasaannya. – HARAKAHDAILY 25/12/2021

- Advertisement -