PAS Melaka sokong larang jual minuman beralkohol

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
PAS Melaka menyokong penuh tindakan kerajaan negeri yang melarang Ayer Keroh Country Club (AKCC) daripada menjual minuman beralkohol di premis itu.

Pesuruhjayanya, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, tindakan melarang penjualan minuman beralkohol di premis tersebut amat disokong dan diharap dapat diperluaskan lagi kepada semua agensi kerajaan dalam sektor pelancongan dan rekreasi.

- Advertisement -

Ini, ujarnya sekali gus dapat mewujudkan suasana bebas arak di negeri ini.

“Menerusi ketetapan ini, Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka percaya ia dapat merealisasikan tiada orang Islam yang akan terlibat dalam premis penjualan arak demi melahirkan negeri yang selamat daripada angkara arak.

“Semoga usaha seumpama ini akan terus diperluaskan dan rakyat Negeri Melaka sentiasa diberkati Allah SWT,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.

Pada Rabu lepas, pengurusan AKCC dilaporkan telah mengeluarkan notis mengenai perkara itu dan memaklumkan bahawa ia adalah arahan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri telah mengarahkan AKCC Berhad untuk menghentikan jualan minuman beralkohol di dalam premis AKCC berkuat kuasa serta-merta,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

- Advertisement -