
Oleh NOR HAZWANI NOH dan SYAHIRAH SALLEH | Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE
HULU LANGAT: Berikutan kunjungan orang luar terlalu ramai, situasi di sini menjadi sesak dan menyukarkan kerja-kerja menghantar bantuan kepada mangsa banjir.
Ketua Bilik Operasi Khidmat Malaysia Hulu Langat Zon 2, Muhamad Syafiq Mohd Ramdzan, berkata situasi itu boleh dilihat di sepanjang jalan di Dusun Tua khususnya, apabila perjalanan yang biasanya hanya memakan masa 10 minit menjadi perjalanan dua jam lamanya.
“Itulah kekangan kita, apabila jalan terlalu sesak, polis akan (bertindak) tutup jalan dan sebagainya, seterusnya menjadi kekangan petugas di sini.
“Tentunya situasi ini menyukarkan operasi dan misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Bilik Operasi Khidmat Malaysia Zon 2, di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Mutadayyin, hari ini.

Menurut Muhamad Syafiq, antara kekangan lain yang dihadapi Khidmat Malaysia Hulu Langat adalah ketiadaan elektrik dan bekalan air bersih.
Katanya, ketiadaan dua sumber asas itu menyukarkan petugas menjalankan kerja-kerja pembersihan, penyediaan makanan dan lain-lain.
“Setakat ini, di atas Dusun Tua, seperti Batu 16, Batu 17, Batu 21, dan Kampung Orang Asli sendiri masih tiada air, itu kekangan kita.
“Kita banyak petugas tetapi tidak boleh jalankan operasi tersebut, sebab tiada air, elektrik dan keperluan lain,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau bersyukur disebabkan situasi di Bilik Operasi Khidmat Malaysia Zon 2 lebih baik berbanding situasi di Bilik Operasi Khidmat Malaysia Zon 3, di Kompleks Tarbiyah Darul Hidayah (KOMTA).
Dia dimaklumkan KOMTA baharu sahaja menerima bekalan air hari ini dan beranggapan terdapat lokasi lain yang belum menerima bekalan air.
“Di kawasan yang tiada air, dan lebih teruk, kita buat apa yang kita mampu sahaja. Bermula dengan buang lumpur terlebih dahulu, kemudian kita bantu angkat barang rosak keluar daripada rumah mangsa dan kumpulkan di satu tempat.
“Akan datang, setelah bekalan air stabil, kita akan bantu cuci rumah mangsa, sebab sekarang situasinya dengan jambatan, rumah roboh memang tiada apa yang dapat kita lakukan. Melainkan kita usahakan melalui jengkaut untuk tolak sampah-sampah di sana” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga ada menempah jengkaut untuk mencuci sampah di kawasan yang lebih teruk, namun dalam kuantiti yang sedikit.
Bagaimanapun, Muhamad Syafiq optimis dengan sumbangan sedemikian sangat membantu mangsa banjir di sini. – HARAKAHDAILY 24/12/2021











